28.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    SURAT | Tanah tidak beranak, tapi tanah menghidupkan Orang Asli

    Shopee Sale

    “Perjuangan tanah adat. Saya berjuang juga, tapi cara saya. Saya bukan confrontational. Saya tidak akan berguling-guling atas jalan. Saya tidak akan hantar memorandum ke sana ke sini atas bawah. Kita kena ubah cara pemikiran kita. 

    “Bagaimanapun, sejujurnya tanah adat tapi bagi kemampanan masyarakat Orang Asli di dunia moden ini kena kejar pendidikan. Ini kena kejar. Kerana apa? Tanah tidak beranak. Orang Asli tahun ke tahun bertambah. Dari belasan ribu tahun 60-an, sekarang 200,000 lebih. 

    Ramli Mohd Nor

    “Tanah itu kalau bagi-bagi, akhir sekali tinggal sekangkang kera. Masyarakat saya, kita nak maju setaraf dan mampan dalam ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Kita kena ubah cara pemikiran kita. Kita kena ada konsep bersaing. Dan bersaing ini datang kena ada ilmu. Ilmu melalui pendidikan.

    “Dan selain daripada itu, untuk masyarakat Orang Asli dan terutama masyarakat luar bahawa Orang Asli wujud dan mereka adalah sebahagian masyarakat yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita pada hari ini. Cara perjuangan mereka air mata dan darah. Dan ini sebahagiannya digambarkan dalam cerita Orang Perang.”

    –Ramli Mohd Nor,
    siaran podcast BBNS

    Kenyataan mengguris hati

    Saya terpanggil untuk menyanggah pendapat yang dinyatakan oleh Ramli kelmarin yang memperolokkan usaha dan ikhtiar berkaitan kepentingan tanah. Kenyataan beliau amat mengguris hati kami, masyarakat Orang Asli suku kaum Mah Meri yang masih hidup bergantung kepada jasa dan kemuliaan tanah.

    Kami tidak pernah menolak bahawa pendidikan itu penting. Kami juga tidak pernah menolak bahawa Orang Asli perlu maju dan mengikuti perubahan zaman. Tetapi jangan gunakan alasan “kemajuan” untuk memandang rendah hubungan Orang Asli dengan tanah yang membesarkan kita.

    Apabila dikatakan bahawa “tanah tidak beranak” dan Orang Asli perlu berhenti bergantung kepada tanah, persoalannya ialah: Adakah seseorang yang sudah berjaya perlu melupakan tempat yang membolehkan dia sampai ke tahap itu?

    Tanah memang tidak beranak seperti manusia. Tetapi pemikiran yang hanya melihat tanah dari sudut sempit itu adalah pemikiran yang gagal memahami sejarah, budaya dan kehidupan Orang Asli.

    MENARIK:  Bolehkah PAS beri BN Melaka talian hayat supaya adakan PRN mengejut?

    Tanah tidak melahirkan manusia, tetapi tanah memberi kehidupan kepada manusia.

    Tanah itulah yang memberi makanan. Tanah itulah yang memberi tempat tinggal. Tanah itulah yang menjadi sumber rezeki. Tanah itulah tempat ibu bapa kami bekerja keras membesarkan anak-anak. Tanah itulah yang membolehkan generasi Orang Asli hari ini berdiri, belajar dan mencapai kejayaan. Tanah dan pendidikan bukan bercanggah, malah saling melengkapi.

    Jangan lupa, sebelum ada sijil pendidikan, sebelum ada kerjaya moden, sebelum ada kejayaan di bandar, ada ibu bapa Orang Asli yang berdiri di atas tanah yang sama, memecah keringat mencari rezeki untuk memastikan anak-anak mereka mempunyai masa depan.

    Maka jangan terlalu mudah mengatakan tanah itu “tidak beranak” seolah-olah tanah itu tidak mempunyai perananan dalam kehidupan manusia. Kenyataan seperti itu hanya menunjukkan seseorang melihat dunia daripada pengalaman sendiri, tetapi gagal melihat perjuangan mereka yang bermula dari tempat yang berbeza.

    Kepada mereka yang sudah menikmati kemudahan, jangan jadikan kejayaan sendiri sebagai ukuran untuk menghukum masyarakat yang masih mempertahankan Tanah Adat mereka. Jangan anggap meninggalkan tanah adalah satu-satunya tanda kemajuan.

    Orang Asli tidak menolak kemajuan. Tetapi kami menolak pemikiran bahawa untuk menjadi maju, kami perlu melupakan tanah yang telah melahirkan kehidupan kami.

    Tanah adat bukan penghalang kemajuan. Tanah adat adalah asas yang membolehkan kami terus hidup, mengenal siapa diri kami dan mewariskan sesuatu kepada generasi akan datang.

    Tanah yang dikatakan “tidak beranak” itulah yang telah membesarkan manusia yang beranak-pinak hingga hari ini. Tanah itu bukan kosong mahu pun sekadar garisan lot-lot dalam fail pejabat tanah untuk diagihkan hingga tinggal sekangkang kera. 

    Tanah itu adalah sejarah hidup dan masa depan Orang Asli.


    MAZNAH UNYAN aktivis Orang Asli dari Pertubuhan Tompoq Topoh Mah Meri Selangor.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah