Persatuan Digital Malaysia (Malaysian Digital Association atau MDA) mengumumkan barisan Majlis baharu bagi penggal 2026 hingga 2028 selepas Mesyuarat Agung Tahunannya yang berlangsung pada 22 Julai lalu.
Artikel Berkaitan: REV Media Group Rangkul 7 Anugerah Di MDA d’Awards 2026, Perkukuh Kedudukan Dalam Penerbitan Digital
Artikel Berkaitan: REV Media Group Meneruskan Cabaran ‘Real Atau AI’, Bantu Bezakan Kandungan Asli & Janaan AI
Barisan majlis baru bagi penggal 2026-2028

Menerusi pengumuman tersebut, Ketua Pegawai Operasi REV Media Group, Nicholas Sagau Tony Ngimat, sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui MDA apabila dilantik semula tanpa bertanding sebagai Presiden bagi penggal kedua berturut-turut.
Pelantikan itu hadir dengan komitmen untuk terus menyatukan komuniti digital negara, memperkukuh jaringan industri serta membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ketika landskap digital kini dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan ekonomi pencipta kandungan (creator economy).
Turut menganggotai barisan kepimpinan baharu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Universal McCann, Sue-Anne Lim, sebagai Naib Presiden; Natalie Fong, Partner merangkap Head of Digital Trading & Biddable di Dentsu Holdings (M) Sdn Bhd sebagai Bendahari; serta Nik Justin Nik Mohd Ariffin, Head of Group Corporate Communications & Strategic Relations Karangkraf Group sebagai Setiausaha.
Nicholas menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang terus diberikan oleh ahli-ahli MDA dan berharap dapat bekerjasama dengan baik bersama barisan majlis baharu dalam memperkukuhkan ekosistem digital negara.
Saya berterima kasih atas kepercayaan berterusan daripada ahli-ahli MDA dan teruja untuk bekerjasama dengan barisan Majlis baharu.
Ketika AI, teknologi baharu dan ekonomi pencipta kandungan terus mengubah landskap industri, fokus kami adalah untuk merapatkan lagi komuniti digital, mengukuhkan hubungan serta mewujudkan peluang pertumbuhan yang dikongsi bersama.
Dalam pada itu, Sue-Anne berkata, MDA yang telah dibina selama 17 tahun kini memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem digital yang memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Dengan itu, Sue-Anne berharap persatuan itu mampu terus memperkukuhkan suara industri agar setiap pandangan yang dibawa berkaitan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara digital mendapat perhatian sewajarnya.
Bagi penggal 2026 hingga 2028, MDA akan memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama termasuk penyelidikan dan pengukuran industri, pembangunan AI serta teknologi baharu, ekonomi pencipta kandungan dan pembangunan bakat digital menerusi kerjasama strategik bersama pelbagai pihak.
Selain membantu industri memahami impak perubahan teknologi dan model perniagaan baharu, MDA turut komited memperluaskan perkongsian ilmu, meningkatkan keupayaan pemain industri serta mewujudkan lebih banyak peluang kolaborasi.
Persatuan itu juga akan meneruskan penganjuran program-program utamanya seperti d Awards, d Conference, d Young Achievers Programme, Digital Wednesday dan Teh Tarik with C-Suite, di samping memperkenalkan inisiatif baharu yang selari dengan keperluan industri digital yang semakin berkembang.
Dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital serantau, MDA akan terus memperluaskan kerjasama dengan agensi kerajaan, rakan industri, institusi pendidikan dan pelbagai persatuan lain bagi menggalakkan perbincangan serta kolaborasi berkaitan AI, ekonomi pencipta kandungan, perubahan corak penggunaan media, pengukuran industri, pembangunan bakat dan model perniagaan digital masa hadapan.
Barisan Kepimpinan MDA 2026-2028
- Presiden: Nicholas Sagau Tony Ngimat (REV Media Group)
- Naib Presiden: Sue-Anne Lim (Universal McCann)
- Setiausaha: Nik Justin Nik Mohd Ariffin (Karangkraf Group)
- Bendahari: Natalie Fong (Dentsu Holdings (M) Sdn Bhd)
Ahli Majlis:
- Justin Lim (Adzymic Sdn Bhd)
- Khaw Kenn Wee (Astro Media Solutions – KULT)
- Jenn Ngan (FMT Media Sdn Bhd)
- Aditya Rao (Google Malaysia Sdn Bhd)
- Stephanie Looi Pui Yee (HEPMIL Malaysia Sdn Bhd)
- Loh Ken Wei (iMedia Asia Sdn Bhd)
- Michelle Tan (Influasia Sdn Bhd)
- Vinod Kumar (Vivaki (Malaysia) Sdn Bhd)
- Winnie Chen (WPP Media Malaysia)
Untuk maklumat lanjut mengenai MDA dan inisiatif yang dilaksanakan, orang ramai boleh mengunjungi laman web rasmi Malaysian Digital Association (MDA).
The post Nicholas Sagau Kekal Terajui MDA, Umum Barisan Majlis Baharu Bagi Penggal 2026-2028 first appeared on OHBULAN!.





