MUKTAMAR PAS l Cadangan untuk membuka keahlian PAS kepada bukan Islam akan diputuskan esok, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Dia berkata, perkara itu adalah antara cadangan disuarakan sebelum ini dalam mesyuarat Majlis Syura dan Dewan Harian.
Perkara itu juga, katanya, akan disentuh dalam ucapan perasmian muktamar oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang dijadualkan pagi esok, sebelum dibahaskan oleh perwakilan.
"Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan akan bentangkan esok dan ucapan Presiden juga akan menyentuh perkara ini," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS ke-63 di Jerantut, Pahang, hari ini.
Sebelum ini Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti ituakan membuat beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti itu.
Bagaimanapun, dia tidak memperincikan butiran mengenai pindaan yang akan dilakukan.
“Perkara pokoknya ialah orang bukan Islam minta untuk jadi ahli biasa, sedangkan PAS hanya orang Islam boleh jadi ahli, sebab tu kita pakai DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS).
"Kita kena tunggulah apa keputusan perbahasan esok," katanya.
Walaupun buat masa ini PAS sudah memiliki DHPP - yang memberi ruang kepada penyokong bukan Islam parti itu - memberi sumbangan kepada PAS termasuk menjadi calon pada PRU15, namun ada permintaan supaya keahlian dibuka kepada mereka sebagai ahli bersekutu.
DHPP diterajui N Balasubramaniam dan sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS, sebelum dinaik taraf sebagai Dewan pada Mei 2010.
Tindakan PAS untuk membahaskan usul bagi membuka keahlian kepada bukan Islam itu dipercayai mempunyai kaitan dengan saranan timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat pada malam Rabu lalu.
Dia dilaporkan berkata, untuk menawan Putrajaya PAS tidak boleh semata-mata mengharapkan undi Melayu, semata-mata.





