Ronnie Liu, yang terpalit dalam kontroversi perbalahan berkaitan penternakan babi di Selangor, menyatakan rasa kagumnya terhadap seorang calon Bersama kerana membangkitkan isu itu semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.
“Wei Han, pertama sekali, saya mengagumi keberanian anda dan memuji kerana anda tampil bersuara bagi industri yang telah menyara keluarga selama dua hingga tiga generasi.
“Nilai sebenar seorang ahli politik bukanlah menerima tepukan tangan ketika keadaan senang, malah berani mengemukakan masalah rakyat di tengah kontroversi,” katanya merujuk kepada calon Perling Boo Wei Han.

Bekas exco Selangor dan bekas pemimpin DAP itu juga mengiktiraf tanggungjawab yang ditunjukkan oleh Rafizi yang tidak menjarakkan diri daripada calonnya.
“Inilah tanggungjawab yang seharusnya ada pada seorang pemimpin, serta ciri politik yang matang,” kata bekas exco Selangor dan bekas pemimpin DAP itu.
Pada ceramah Bersama di Taman Pelangi, Johor Bahru pada Ahad, Boo—yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pengurusan—menyorot bagaimana keputusan Selangor menjejaskan penternak babi.
“Saya hairan kenapa babi jadi isu sebab sudah 30 hingga 40 tahun orang bela babi. Ada orang mati tinggal sebelah kandang babi? Ada orang kena penyakit? Saya harap isu ini boleh buat pusingan U.
“Saya kesian kepada mereka. Seumur hidup, dua hingga tiga generasi mereka bela babi, tiba-tiba disuruh tutup semua,” katanya.
Rafizi, yang berucap di ceramah yang sama, kemudian memuji Boo sebagai contoh terbaik orang biasa yang bertanding untuk mengetengahkan isu-isu yang dekat dengan rakyat.
Rafizi bagaimanapun malam tadi mendedahkan dia mengeluarkan garis panduan kempen untuk kesemua 15 calon parti itu.
“Susah saya nak jawab nanti," katanya kepada kira-kira 100 hadirin ceramah Bersama di Larkin, Johor Bahru, pada hari kedua kempen PRN.
Menulis di media sosial tengah malam tadi, Liu berkata terdapat beberapa perkara perlu direnung kembali.
Katanya, industri penternakan babi bukan turut menyokong bidang pembekalan makanan haiwan, sektor pengangkutan, rumah sembelihan, pemprosesan makanan, perniagaan restoran serta pelbagai keluarga yang bergantung pada rantaian bekalan ini untuk kelangsungan hidup.
“Apa yang kita pertahankan hari ini bukanlah sebuah industri tertentu, melainkan prinsip tadbir negara yang paling asas,” katanya.
Katanya, kerajaan boleh mewajibkan peningkatan taraf industri, menuntut penambahbaikan operasi, merangka pelan induk baharu dan mengetatkan standard alam sekitar.
Namun, katanya, kerajaan tidak sepatutnya memaksa rakyat menanggung semua akibat perubahan dasar tanpa tempoh peralihan yang munasabah, pelan tindakan yang lengkap dan perundingan yang menyeluruh.
“Hari ini pihak yang terkesan ialah penternak babi, esok mungkin pula petani sayur, petani buah, perusahaan kecil dan sederhana atau mana-mana sektor yang beroperasi secara sah,” katanya.
Dia mencadangkan lima pembaharuan utama untuk dilaksanakan oleh kerajaan, iaitu:
-
Hentikan penutupan menyeluruh tanpa diskriminasi, dan laksanakan penguatkuasaan setelah penilaian kesan saintifik yang teliti dibuat.
-
Laksanakan penternakan babi tertutup moden di seluruh negara, dengan peningkatan menyeluruh dari segi pematuhan alam sekitar, keselamatan biologi dan standard automasi.
-
Wujudkan sistem penilaian seragam peringkat kebangsaan untuk ladang babi. Hanya pihak yang melanggar peraturan dengan serius dan berulang kali serta enggan membuat pembaikan akan dikenakan tindakan undang-undang.
-
Bangunkan taman industri penternakan babi moden khusus dengan pemusatan kemudahan rawatan air sisa, penjanaan kuasa biogas, logistik rantaian sejuk, pencegahan penyakit dan infrastruktur penjagaan alam sekitar.
-
Kerajaan bersama pihak berkepentingan menanggung beban transformasi industri dengan menyediakan pembiayaan faedah rendah, bimbingan teknikal, subsidi peningkatan taraf serta pelan pemindahan yang adil, supaya perlindungan alam sekitar dan peningkatan industri dapat berjalan serentak.
“Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan kata-kata ini kepada Wei Han: Adalah terpuji untuk berani mengemukakan masalah, namun lebih layak menerima kepercayaan rakyat jika dapat mengemukakan penyelesaian yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Liu pada Mei lalu antara yang ditegur oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana mempertahankan penternakan babi di Selangor, ketika istana mahu beralih kepada bekalan import sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin mengarahkan semua Adun Selangor melawat Dataran Selangor bagi membaca dan memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara di Shah Alam.
Saranan itu dikhususkan kepada Liu dan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki yang dilihat mempertikai larangan penternakan babi di Selangor.
Liu melawat Plak Monumen Rukun Negara itu kira-kira 24 jam selepas dititahkan berbuat demikian oleh Sultan Selangor.





