Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan tiga bekas pengarah dan pemegang saham sebuah syarikat pelancongan untuk menangguhkan pembayaran balik RM492,480 kepada sebuah syarikat yang menguruskan perkhidmatan umrah dan haji.
Hakim Leong Wai Hong menolak permohonan Fathul Bari Mat Jahya, Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff untuk menangguhkan pembayaran wang berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
"Alasan rayuan difailkan bukanlah suatu keadaan khas yang mewajarkan penangguhan diberikan.
"Oleh itu, permohonan ditolak dengan kos RM5,000," kata hakim itu pada prosiding hari ini.
Peguam Mohd Shahril Madisa bertindak sebagai wakil ketiga-tiga individu berkenaan manakala Teoh Bi Shan mewakili syarikat KRS Travel Sdn Bhd.
KRS Travel adalah sebuah syarikat yang menguruskan perkhidmatan umrah dan haji untuk jemaah Malaysia ke Makkah.
Pada Dis 2025, Leong menolak rayuan tiga individu terbabit selepas bersetuju dengan keputusan mahkamah sesyen bahawa defendan melakukan penipuan apabila gagal memulangkan RM492,480 yang sepatutnya dibayar semula kepada jemaah umrah selepas perjalanan mereka dibatalkan susulan pandemik Covid-19.
Sebelum ini, hakim mahkamah sesyen - selepas perbicaraan penuh - mendapati wujud penipuan pada pihak defendan dan membenarkan tuntutan plaintif berjumlah RM492,480.
Menurut fakta kes, semua defendan ketika itu ialah pengarah dan pemegang saham Rehla Travel Services Sdn Bhd, sebuah agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan aktiviti berkaitan.
Pada Feb 2020, plaintif mendapatkan perkhidmatan Rehla untuk menempah dan membeli tiket penerbangan bagi pelanggannya untuk ke Madinah atau Jeddah, dan telah membayar sebanyak RM492,480 kepada Rehla bagi tujuan itu.
Sebagai ejen tiket bagi Malaysia Airlines Berhad (MAB), Rehla membuat bayaran kepada MAB untuk membeli tiket penerbangan tersebut.
Selepas ia disahkan, MAB mengeluarkan rekod nama penumpang bagi setiap pelanggan plaintif.
Namun, susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, tiket-tiket yang dibeli plaintif dibatalkan oleh MAB, dan dalam tempoh sama, Rehla tidak beroperasi.
Menurut plaintif, wang RM492,480 yang dibayar kepada Rehla sepatutnya dipulangkan kepada pelanggan namun defendan enggan berbuat demikian atas alasan Rehla hanyalah ejen tiket bagi MAB, dan bayaran untuk tiket tersebut telahpun dibuat kepada MAB.
Defendan berkata plaintif sepatutnya mengemukakan tuntutan kepada MAB, bukannya Rehla, bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayar untuk pembelian tiket tersebut.





