31 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bersih jumpa PM, dapat persetujuan berprinsip beberapa reformasi

    Shopee Sale

    Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini dalam usaha memperhebatkan usaha mereka untuk menuntut pembaharuan.

    Dalam perjumpaan itu, Bersih berkata bahawa perdana menteri pada prinsipnya bersetuju dengan beberapa daripada 10 pembaharuan yang dibentangkan semasa mesyuarat mereka.

    “Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau secara prinsip bersetuju dengan beberapa perkara, namun ada beberapa reformasi yang beliau rasakan perlu ada perbincangan lanjut," kata kumpulan itu.

    Dalam satu kenyataan berasingan, Anwar berkata beberapa pembaharuan yang dicadangkan Bersih kepada kerajaan sudah pun dipertimbangkan dan sedang diambil tindakan.

    Bagaimanapun, perdana menteri tidak menjelaskannya secara terperinci.

    10 pembaharuan yang dicadangkan oleh Bersih kepada Anwar adalah seperti berikut:

    • Reformasi lantikan ahli-ahli dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

    • Menyahklasifikasi laporan pembaikan sistem dan undang-undang pilihan raya

    • Reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA)

    • Reformasi pendanaan politik

    • Reformasi persempadanan semula kawasan pilihan raya

    • Pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya

    • Moratorium kepada pemberian DNAA oleh Peguam Negara dalam kes rasuah

    • Memperkasa institusi Parlimen Malaysia melalui Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen dan Meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat

    • Menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) demi kelangsungan kestabilan politik

    • Penggubalan Akta Peruntukan Kawasan

    Ketika dihubungi, Pengerusi Bersih Mohammad Faisal Abdul Aziz berkata antara perkara yang dipersetujui perdana menteri adalah mengenai pembaharuan terhadap kesalahan pilihan raya, termasuk mengaudit laporan kewangan calon sebelum hari penamaan.

    Pembaharuan lain yang dipersetujui termasuk mengasingkan perananan pendakwa raya dan peguam negara serta memperkasakan Parlimen melalui Akta Perkhidmatan Parlimen.

    MENARIK:  Mahkamah Rayuan tolak permohonan kes Najib saman bekas AG

    Semalam, Bersih mengadakan himpunan aman  #Reformasi100Peratus dengan kehadiran kira-kira 100 peserta, bagi mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi menyeluruh.

    Mereka berarak ke pekarangan bangunan parlimen sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan dan pembangkang.

    Sementara itu, jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu hantaran di media sosial berkata, demi untuk menjayakan serta mengukuhkan amanah melaksanakan reformasi, Bersih akan sentiasa berperananan sebagai agen pendesak.

    “Bersih menegaskan sudah tiba masanya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama dukungan anggota kabinet dan ahli Parlimen untuk merintis sebuah legasi besar dengan melunaskan agenda reformasi struktural melibatkan reformasi  pilihan raya, reformasi institusi serta menutup ruang rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang akan terus malar segar sebagai pasak baharu negara,” katanya.

    Semalam, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nabil Halimi meminta Bersih supaya menyokong usaha kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

    Katanya, kestabilan politik ini juga adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang turut sebenarnya harus dititikberatkan sebagai keperluan mustahak untuk melihat reformasi yang berkesan.

    Malah, dia berkata, kesenjangan dan ketidakadilan ekonomi hanya akan mematahkan cita-cita demokrasi yang diperjuangkan masyarakat sivil.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah