Selepas berbulan-bulan ketegangan memuncak dengan sekutunya PAS, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini memberi bayangan parti itu mungkin keluar daripada Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataanya, Muhyiddin membidas Pengerusi PN Samsuri Mokhtar kerana membuat keputusan secara sepihak untuk menjalin kerjasama pilihan raya dengan BN serta mengetepikan Bersatu daripada rundingan pembahagian kerusi.
“Oleh kerana Perikatan Nasional yang dipimpin oleh PAS mahu mewujudkan gabungan dengan Umno, yang masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan termasuk DAP, PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh Perikatan Nasional.
"Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik. Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Perikatan Nasional.

"Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” kata Muhyiddin.
Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas parti komponen PN tanpa Bersatu mengadakan majlis memperkenalkan 11 calon mereka bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan, sebagai pelengkap kepada BN yang bertanding di 25 kerusi lain.
Pada majlis malam tadi, Samsuri mengumumkan gabungan itu memasuki pilihan raya dengan BN sebagai rakan kerjasama.
Bersatu dijadual mengumumkan barisan calonnya di Nilai, Negeri Sembilan, lewat hari ini.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada Muhyiddin sudah memutuskan supaya Bersatu meninggalkan gabungan itu atau tidak.
Ketika sidang medianya pada Rabu, bekas perdana menteri itu berkata mereka belum membuat sebarang keputusan dan akan meneliti perkara tersebut selepas pilihan raya negeri.
Dalam kenyataannya, Muhyiddin turut meluahkan rasa kecewa terhadap kepimpinan PN kerana menafikan hak Bersatu sebagai anggota gabungan itu.
Dia turut menempelak Ketua Penerangan PN Annuar Musa kerana menuduh Bersatu berpisah dengan gabungan berkenaan.

"Sepanjang saya memimpin Perikatan Nasional selama lima tahun saya tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan Perikatan Nasional, termasuk hal-hal dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya.
"Mesyuarat dan rundingan melibatkan semua parti dan setiap keputusan dibuat secara teratur.
“Hari ini, segalanya telah berkecamuk.
"Tuduhan Tan Sri Annuar Musa kononnya Bersatu menghalang penyatuan Melayu adalah amat tidak bertanggungjawab," tegasnya.

Kata Muhyiddin, rundingan kerusi parti-parti PN dengan Bersatu bagi pilihan raya juga telah dihentikan.
"Malah ia sengaja dihentikan dengan alasan yang tidak munasabah.
"Bersatu juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggota Perikatan Nasional.
"Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuaratpun tidak dijemput," soalnya.





