Pemuda PKR (AMK) Selangor “mempersilakan” PN menumbangkang PH di negeri itu.
Reaksi itu diberikan selepas Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan mahu menjadikan Selangor sebagai titik mula untuk menumbangkan PH di peringkat pusat.
“Sanusi mahu tumbangkan PH di Selangor? Silakan. Itu hak PAS dan PN dalam sebuah negara demokrasi.
“Malah apabila Sanusi mencabar supaya prestasi pentadbiran dibandingkan, kami sambut cabaran tersebut,” kata Timbalan Ketua AMK Selangor Mohamad Shahrul Adnan (atas, kanan).

Sanusi dalam ceramah di Tanjung Karang semalam berkata Selangor penting dijatuhkan kerana negeri itu merupakan pusat ekonomi, kewangan dan pentadbiran negara.
“Jatuh PH di Selangor, jatuhlah PH di federal (persekutuan),” dia dipetik sebagai berkata oleh FMT.
PH menguasai 32 daripada 53 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, diikuti PN (22) dan BN (2).
BN membentuk kerajaan bersama PH tetapi formula itu belum tentu diguna pakai dalam pilihan raya akan datang susulan pendirian BN bekerjasama dengan PN dalam dua pilihan raya negeri lalu.
Analisis Malaysiakini awal bulan ini merumuskan gabungan peratusan undi BN dan PN boleh memberikan mereka 32 daripada 56 kerusi–tiga kerusi melebihi jumlah diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah. Kerusi
PH pula boleh merosot kepada 24 kerusi.
BACA: Tsunami BN-PN boleh buat PH hilang Selangor, lebih teruk dari 2008
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini Mohamad Shahrul berkata sebelum bercakap besar, PAS perlu menjawab satu persoalan mudah, iaitu apa sebenarnya yang PAS mahu tawarkan.
“Kalau belanjawan alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor,” sindirnya.
Mohamad Shahrul berkata, pentadbiran Selangor menunjukkan prestasi yang baik, antaranya kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan menjadi antara pusat utama pelaburan, perindustrian, perdagangan serta peluang pekerjaan.
“Kedudukan ini bukan terhasil daripada slogan politik, tetapi daripada kesinambungan dasar, pembangunan infrastruktur, keyakinan pelabur dan kestabilan pentadbiran.
“Kalau Sanusi mahu membandingkan rekod pentadbiran, bandingkan Selangor dengan negeri-negeri yang ditadbir PAS dan biarkan angka serta rakyat sendiri membuat penilaian,” katanya.





