Bekas pengerusi pasukan petugas Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), Eddin Khoo, menyelar Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dengan menuduhnya sengaja mempolitikkan isu UEC untung kepentingan kaum.
Ahli sejarawan yang mempengerusikan pasukan petugas berkenaan dari tahun 2018 hingga 2020 itu, menyifatkan ahli politik DAP tersebut sebagai "eksploitatif, manipulatif, dan bersifat perkauman", serta mendakwa dia bertindak sebagai provokator sepanjang tempoh jawatankuasa itu beroperasi.

Dia berkata bahawa Teo juga sepatutnya "dicampak ke mana-mana sahaja", dan dirinya "tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada sesiapa."
Menurut Khoo, Teo secara konsisten mengamalkan sikap bermuka-muka semasa memegang jawatan sebagai timbalan menteri pendidikan.
"Disebabkan orang seperti dirinya, yang lidah bercabang, isu ini terus dipolitikkan.
“Dan dia adalah timbalan menteri pendidikan, yang sepatutnya memberikan sokongan dan menjelaskan apa yang dilakukan oleh jawatankuasa kerana kami sentiasa berhubung dengan kementerian, bukan? Melakukan tugas tersebut.
“Kamu tahu, dia menyemarakkan api di merata tempat kepada akhbar Cina. Cakap satu perkara kepada akhbar Cina, dan cakap perkara lain pula kepada akhbar Inggeris,” katanya dalam program podcast Let’s Get It.

Menurut Khoo, sepanjang tempohnya sebagai pengerusi, kumpulan itu secara konsisten mengadakan libat urus dengan apa yang dipanggilnya sebagai kumpulan "pelampau" Melayu dan Cina, merujuk kepada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Dong Zong.
Khoo berkata walaupun perbincangan berjalan lancar, dia sangat kecewa dengan beberapa penghasut, yang sebahagian besar adalah ahli politik.
“Kami bertemu dengan 93 kumpulan dan individu. Mereka merangkumi Isma, kumpulan sayap kanan Melayu yang paling ekstrem, sehinggalah ke Dong (Zong), yang dianggap sebagai kumpulan Cina paling ekstrem.
“Kami berjumpa mereka semua. Kami satukan mereka dalam sebuah town hall. Kami satukan golongan muda dalam town hall, dan kekecewaan terbesar saya adalah sistem itu sendiri.
“Sistem itu sendiri tidak dapat memahami apa yang cuba kami lakukan. Jadi kami sentiasa mempunyai provokator, dan mereka bukannya Isma atau Dong Zong. Mereka adalah ahli politik,” keluh Khoo.

Dia juga menuduh ahli politik seperti Teo tidak mahu penyelesaian, kerana mereka lebih suka kekal sebagai "juara kaum" daripada menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan.
Malaysiakini telah menghubungi Teo untuk mendapatkan ulasan berhubung tuduhan Khoo dan sedang menunggu jawapannya.
Selama beberapa dekad, topik berkaitan UEC telah mencetuskan ketegangan berterusan di Malaysia, dengan pertikaian sering berpusat pada keperluan bahasa, perwakilan budaya, dan visi perpaduan nasional yang saling bersaing.
Kontroversi itu kembali marak susulan komen di media sosial oleh Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang mengumumkan niat partinya untuk bertemu perdana menteri bagi melobi pengiktirafan rasmi sijil tersebut.
Pada 12 Disember, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang memberikan respons terhadap isu pengiktirafan UEC, mengingatkan semua pihak bahawa sebarang tuntutan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum, atau etnik mestilah mengambil kira kedudukan perlembagaan bahasa kebangsaan.

Pada 24 Januari, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa kementerian pendidikan akan meminda polisinya bagi membolehkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan menduduki hanya kertas Bahasa Malaysia dan Sejarah bagi SPM.
Dia berkata mereka yang mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia dan lulus dalam Sejarah akan layak memohon kemasukan ke universiti awam.
Pindaan ini akan membolehkan pelajar sekolah menengah persendirian Cina, antara lain, untuk menduduki kedua-dua subjek tersebut, dan mana-mana pelajar yang memenuhi syarat ini akan layak memohon ke universiti awam.
Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035 bahawa semua sekolah, termasuk sekolah persendirian, agama rakyat dan maahad tahfiz serta serta sekolah antarabangsa, akan diwajibkan untuk mengajar Bahasa Malaysia dan Sejarah peringkat SPM berdasarkan kurikulum kebangsaan.





