Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan gangguan bekalan elektrik di sekitar Ampang, Kuala Lumpur hari ini sudah diselesaikan.
"Gangguan bekalan elektrik berlaku di sekitar kawasan Ampang, Kuala Lumpur disebabkan permasalahan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Pandan Maju telah pulih sepenuhnya.
"Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang terlibat atas kerjasama yang diberikan di sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan bekalan dijalankan," kata TNB dalam kenyataan ringkas di Facebook.
Terdahulu hari ini, The Star melaporkan ribuan penduduk berdepan masalah tiada bekalan elektrik di beberapa kawasan di Ampang dan Klang.
Masalah itu pada mulanya dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Ampang Jaya sekitar tengah hari, diikuti Klang tidak sampai sejam kemudian.
Sementara itu, TNB berkata pasukan teknikalnya masih melakukan kerja membaik pulih di beberapa kawasan di Klang.
"(Ia) disebabkan permasalahan di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Kota Kemuning.
"Pasukan teknikal kami sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik. Kesabaran anda amat kami hargai dan segala kesulitan amat dikesali," kata TNB lagi.
TNB juga menasihati pengguna agar berhati-hati dalam mengendalikan peralatan elektrik pada masa ini, memandangkan bekalan mungkin pulih pada bila-bila masa.





