27.8 C
Kuala Lumpur
Monday, June 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bebas atau penjara: Mahkamah Persekutuan tentukan nasib Syed Saddiq esok

    Shopee Sale

    Anggota parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetahui nasibnya esok sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.

    Rayuan itu didengar selama dua hari dan pihak-pihak selesai berhujah di hadapan tiga panel berkenaan pada 12 Dis 2025.

    Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

    Semasa rayuan akhir pendakwaan pada 12 Dis, dalam situasi yang jarang berlaku, Hakim Abu Bakar memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan itu selepas pihak-pihak selesai berhujah.

    Dia yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.

    Bagaimanapun, pada 17 Dis 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan Peguam Negara mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.

    Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

    MENARIK:  4 lelaki Bangladesh disyaki 'ulat' emas, telefon bimbit ditahan di KLIA

    AGC memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.

    Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

    Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah