PRN JOHOR | Putra hari ini menyambut arahan PAS kepada pengundi Johor terkait pilihan raya negeri itu dengan membuat gesaan yang ‘melawan’.
Jika PAS mahu pengundi memusatkan undi kepada parti itu atau BN di kawasan yang tiada calon mereka, Putra pula menggesa agar sokongan diberikan kepada Bersatu.
Presiden Putra, Ibrahim Ali, berkata dalam jangkaannya PRN Johor pada 11 Julai nanti akan berakhir dengan BN mencapai besar yang besar dan boleh membentuk kerajaan negeri dengan mudah.
Justeru, katanya, Johor perlukan pengimbang yang berkesan kerana sebuah kerajaan yang terlalu kuat akan menjadi terlalu selesa dan jauh dari suara rakyat.
Keadaan itu, kata Ibrahim, jika dibiarkan akan berakhir dengan keangkuhan serta autokrasi.
“Putra secara terbuka menyatakan sokongan kepada 16 calon Bersatu sebagai rakan strategik dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan undangan Bersatu kepada Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas ahli parlimen kanan itu juga menegaskan, sesuatu sokongan politik bukan diukur semata-mata daripada jumlah bendera, bas atau petugas yang dibawa.
Sokongan juga, tambah Ibrahim, diukur dengan keberanian menyatakan pendirian dan kesetiaan kepada sahabat seperjuangan.
“Atas prinsip itu, Putra memberikan sokongan penuh kepada Bersatu dan merayu pengundi di 16 DUN yang ditandingi Bersatu memberikan undi masing-masing bagi memastikan kemenangan parti berkenaan," katanya.
Umno lebih faham mainan PAS
PAS dan Bersatu masih berseteru kesan daripada pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua parti, termasuk pertukaran jawatan Menteri Besar Perlis dan kesukaran beberapa parti baru menjadi komponen PN.
Ketegangan terus memuncak sehinggalah PAS mengumumkan mereka menamatkan semua kerjasama dengan Bersatu dalam PN. Pun begitu, dalam PRN kali ini PAS dan Bersatu tetap bertanding menggunakan lambang PN.
Pada masa sama PAS - melalui timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man - meminta ahli parti itu memberikan undi kepada calon BN di sebarang kerusi yang tidak ditandingi PAS.
Untuk rekod daripada 56 kerusi yang ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, PAS meletakkan 11 calon, manakala Bersatu 16. Satu lagi parti komponen PN, Parti Rakyat India Malaysia, diberikan lima kerusi.
Satu lagi kerusi mewakili PN diberikan kepada Pejuang.
Pada masa sama BN dan PH sama-sama meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN.
Mengulas lanjut perkembangan di Johor, Ibrahim berpendapat langkah PAS mengehadkan jumlah calon yang mencabar BN adalah bersifat mahu mengambil kesempatan atas apa juga keputusan yang terhasil nanti.

Kata Ibrahim - yang pernah bertanding dan menang dalam PRU menggunakan tiket PAS - dalam PRN 2022 PAS hanya memenangi satu kerusi daripada 15 kawasan yang ditandinginya.
"Arahan PAS supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon Umno-BN di kerusi yang tidak ditandingi (PAS) pada pandangan saya lebih merupakan usaha mencari laba. Ibarat lembu punya susu, sapi dapat nama.
"(PAS) Mencari laba di atas angin," katanya lagi.
Dengan percaturan dibuat PAS, tambah Ibrahim, dia berharap parti itu tidak tampil "membawa bakul" dan membuat dakwaan bahawa kemenangan BN turut disumbangkan oleh mereka.
"Saya bukan anti-PAS atau penyokong Umno.
"Saya hanya bercakap benar mengikut pandangan saya mengikut berdasarkan politik semasa. Kepimpinan Umno dan orang Umno Johor pasti lebih memahami mainan politik PAS," katanya.
Ibrahim juga berpendapat kemenangan calon Bersatu nanti akan membolehkan suara rakyat dibawa kepada kerajaan sebagai mekanisme semak dan imbang, selain menghalang DUN Johor dipenuhi pengampu.
"Bersatu mungkin tidak bertanding dalam jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, tetapi Bersatu boleh menjadi blok pembangkang yang berani, berwibawa dan dihormati.
"Johor memerlukan wakil rakyat yang berani bertanya apabila kerajaan berdiam, berani menegur apabila berlaku kesilapan dan berani mempertahankan rakyat walaupun berhadapan tekanan politik," katanya.





