ULASAN | Apabila orang politik menjadikan ‘penyatuan ummah’ sebagai zikir alasan perjuangan parti mereka, sejauh mana idea itu masih kelihatan segar, baru, atau bahkan terdengar sangat lunak?
Mungkin pada sisi lain, ungkapan itu juga masih boleh dianggap retorik, menunggang bangsa dan agama, bahkan mungkin juga dilabel berunsur rasis serta tidak berpijak di bumi yang nyata.
Ia tidak bukan tidak lain bertitik tolak daripada perpecahan parti-parti Melayu itu sendiri. Lalu masalah dan sandaran (atau alasan) ditujukan kepada parti yang dianggap berasaskan perkauman lain serta parti yang berpihak kepada kelompok itu.
Lebih malang ialah ketika kalimat penyatuan ummah itu dilaung-laungkan, tiba-tiba juga sebuah gabungan politik ‘Melayu’ berkecamuk, lalu bercerai walaupun sebelum ini kisah percintaan mereka sangat mengasyikkan.
Justeru kita pun boleh faham bahawa krisis dalaman PN melibatkan PAS dan Bersatu ini bukanlah sekadar kisah cinta tiga segi, tapi lebih kompleks dan makin bercelaru dari sehari ke sehari.
Hatta jika ditakdirkan mereka berseteru sehingga bertomoi atau keluar segala buah silat sehingga mungkin berterabur habis keris, songkok, dan serban, atau tercarik-carik semua jubah, kita boleh faham kerana ia tidak semudah kisah cinta Uda dan Dara.
Inilah realiti ‘politik Melayu’ yang sedang dipertonton kepada anak semua bangsa dan generasi hari ini. Ia adalah hikayat lucu tragik yang disuap ke mata semua dan dijaja ke telinga rakyat.
Ya, sudah tentu muncul pelbagai hujah dan alasan dalam setiap perdebatan di sela-sela konfrontasi mereka. Pihak ini kata begitu; pihak itu kata begini; pihak satu lagi berkata begitu-begini.
Bahkan ia menjadi lebih menarik dan terbukti tidak akan berkesudahan segera kerana sehingga hari ini masing-masing sedang memburu ‘kekalahan’ di Johor, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Semuanya kelihatan aneh dan lucu sekali. Atau bahkan aneh serta lucu berkali-kali.
Anak dari pasangan bertalak
Misalnya, apabila PAS putuskan untuk mematikan kerjasama politik dengan Bersatu, kedua-duanya kekal bersatu dalam malu-malu. Ia kira-kia seperti “mahu tapi malu”.
Mereka enggan bertolong-tolongan (taawun) walaupun di dada masing-masing megah menayangkan lambang PN.
Apa lagi penjelasan yang boleh diterima kecuali itu apabila melihat masing-masing mahu kekal berada dalam gabungan sama – PN. Masing-masing bersikeras tidak mahu melepaskan rumah yang dulu dibina atas mantra penyatuan ummah.
Kedua-dua pihak juga rupa-rupanya boleh duduk semeja dan berbagi kerusi demi pilihan raya. Lihatlah apa yang PAS dan Bersatu persetujui untuk menghadapi PRN Johor kali ini.
Situasi ini sudah tentu agak absurd untuk dihadam. Ia ibarat pasangan suami isteri yang sudah bertalak tapi masih sesekali ‘bersenggama’ untuk mencapai matlamat bersama iaitu kuasa.
Kalau tidak dirujuk semula, ‘anak’ yang lahir nanti sudah pasti tidak sah tarafnya!

Perkembangan terbaru pula sangat jelas lagi terang bahawa talak sudah dijatuhkan tapi berpisah belum jua. Dalam PN mereka bersama, tetapi di medan pilihan raya mereka memilih jalan berbeza.
PAS sudah mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa di kawasan yang tiada calon mereka, jentera perlu digerakkan ke kawasan lain yang berkenaan.
Untuk pendukung yang mengundi di kerusi tanpa calon PAS, arahan yang keluar ialah untuk memenangkan parti si “itik patah kaki” yang kini gamaknya sudah mampu berenang sendiri.
Demikianlah istiqamahnya mantra penyatuan ummah yang dibawa sebuah parti di negara ini. Tetapi sekadar itu sajakah?
Jangan dilupa pengasas parti
Lihatlah tanda soal itu, dan mari kita renung kata-kata Almarhum Aminuddin Baki puluhan tahun lalu: “Pimpinan politik Melayu mestilah lebih tegas berusaha agar itik di air jangan sampai mati dahaga, dan ayam di kepuk jangan sampai mati kebulur.
Nah, begitu halus pesanan cendekiawan silam buat pedoman sepanjang zaman.
Kata-kata tokoh yang digelar Bapa Pendidikan Malaysia itu dipetik seorang profesor yang menjadi salah seorang penalis Simposium Kepimpinan Melayu pada tahun 1976.
Dalam situasi semasa didepani PN ini, nampaknya seruan penyatuan parti-parti Melayu sudah diketepikan sama sekali, atau mungkin berkali-kali.
PAS – mungkin atas sebab-sebab tertentu yang sarih – memadamkan huhungan politik mereka dengan Bersatu iaitu sebuah parti yang juga berasaskan bangsa Melayu. Kemudian PAS mendukung parti baru yang dipimpin Hamzah Zainudin.

Hamzah pula sedang mengemudi sebuah parti yang belum disakralkan sebagai sebuah lagi parti Melayu. Bahkan jangan dilupa bahawa Parti Cinta Malaysia itu diasaskan oleh pemimpin politik bukan berbangsa Melayu.
Pada masa sama PAS pula sedang gigih memberi kepercayaan kepada Umno yang pernah ‘diperanangi’ mereka habis-habisan suatu ketika dulu.
Justeru bolehlah kita bertanya seperti puisi Gus Mus: “Kau ini bagaimana, atau aku harus bagaimana?”
Sayugia diingatkan, perdebatan mengenai penyatuan Melayu Islam dalam kalangan parti-parti politik bukanlah hal baru. Ia hanya boleh dianggap baru untuk oleh golongan muda yang kini sedang asyik diulit pidato kononnya demi kepentingan ummah.
Menyuntik pemikiran kritis
Jika dicermati, ia sudah lama menjadi hal yang sepele bahkan retorik amat basi di lidah ahli politik.
Hujah seperti orang Melayu tiada dominasi dua per tiga di Dewan Rakyat, atau ahli parlimen kerajaan kini kononnya bermajoriti bukan Melayu bukanlah isu yang hanya wujud di era kerajaan Madani.
Ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi timbalan perdana menteri (1976), idea-idea memperkukuhkan kepimpinan Melayu sudah menjadi senjata parti-parti politik.
Malah ada kemungkinan hujah berkenaan wujud dan dijaja lama sebelum munculnya Dilema Melayu.
Memanglah, faktor Melayu dalam politik negara ini bukannya hal sepele. Keberadaan Melayu tetap penting, cuma ia tidak sepatutnya jadi tunggangan semasa menghadapi pilihan raya.
Apabila isu Melayu mahu diperkatakan, ia mestilah dibawa dalam naratif lebih meyakinkan, malar segar, dan mampu menyuntik pemikiran lebih kritis dalam benak rakyat.

Sesudah puluhan tahun ia menjadi zikir orang politik, definisi penyatuan ummah yang bagaimana mereka mahukan sebenarnya?
Pada masa sama ahli politik yang mengaku begitu prihatin terhadap nasib rakyat itulah yang selalu tidak berasa janggal bergaya dengan kereta mewah, menayangkan kasut berjenama antarabangsa, pakaian terpilih dan jam yang harganya sama dengan sebuah rumah sederhana.
Jika dipersoalkan, mereka dengan selamba membingkas: “Ikut suka akulah, sebab duit aku!”
Bukan untuk menang
Kemudian selang beberapa detik, mereka kembali mengalunkan irama “Islam terancam” atau mengulas tentang punca kos sara hidup tinggi sambil menuding Putrajaya.
Padahal jika mereka sedang memegang kuasa, sama sajalah keadaan di Tanah Jawi ini.
Adakah kita sedang membina negara dengan seribu satu kelucuan yang berpanjangan kerana ia berada di tangan pihak lain semuanya kononnya bersalah?
Sedangkan ‘kesalahan’ itu hanyalah kerana selera pihak yang berkuasa itu tidak sama dengan nafsu pihak yang melawannya
Di sela-sela pelbagai parti yang ‘memperjuangkan’ agenda penyatuan ummah ini saling bertelingkah, kita harus mengurut dada dan memujuk diri agar bertabah untuk menerima hakikat bahawa ini sajalah politik yang kita ada.
Pada masa sama, kenyataan retorik daripada semua pihak tidak akan terhentikan.
Apa pun, perkembangan politik penyatuan ummah ini dijangka akan menunjukkan hasil lebih jelas selepas 11 Julai ini.
Di pihak PAS pula, mereka tentu berada dalam keadaan tenang dan tersenyum lebar. Hal itu kerana mereka menyertai PRN Johor bukan untuk menang, tetapi untuk jadi pembangkang.
Jika ditakdirkan parti itu terpelanting tanpa sebarang kerusi, mereka tetap ‘menang’ kerana berjaya menjadi penasihat kepada parti yang rumahnya dianggap berhantu oleh Abdul Hadi Awang.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang sentiasa menanti kemunculan tokoh PAS menjadi perdana menteri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





