27.8 C
Kuala Lumpur
Monday, June 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Antara intan, permata dan kaca

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Ketika ini, situasinya seumpama di persimpangan, atau berdepan dengan dilema. Kita dipaksa memilih antara intan dengan kaca.

    Detik untuk memisahkan kelompok terbaik dalam Piala Dunia 2026 kian sukar. Daripada 32 pasukan yang berpeluang menyambung kelangsungan langkah masing-masing, satu demi satu akan gugur sehingga menjadi kelompok 16 terbaik.

    Daripada angka 32 itu, 13 membabitkan pasukan Eropah, lima dari Amerika Selatan dan dua dari Asia. Mereka diiringi tiga pasukan dari Amerika Utara membabitkan tuan rumah bersama - AS, Mexico dan Kanada.

    Awal pagi nanti (30 Jun), tiga perlawanan menjadi tumpuan. Juara lima kali - Brazil - bertemu jaguh Asia, Jepun; manakala Belanda pula berdepan cabaran Maghribi. Juara lima kali Piala Dunia - Jerman - bakal melayan Paraguay.

    Awal pagi tadi (Isnin), Kanada menjadi pasukan pertama layak ke pusingan 16 terbaik selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas tuan rumah Piala Dunia 2010, Afrika Selatan.

    Lawan berikut mereka adalah pemenang antara Belanda - yang menjadi pasukan pilihan - dengan Maghribi.

    Pusingan ke-32 akan berakhir pada 3 Julai ini.

    Pada pengamatan pemerhati dan pengkritik, skuad seperti juara bertahan (Argentina), Sepanyol, Perancis, England, Brazil dan Belanda masih menjadi pilihan untuk mara lebih jauh pada edisi kali ini.

    Patut boleh lebih jauh

    Tapi, cerita pasukan gergasi itu mungkin tidak serancak rekod dicipta skuad Cape Verde dan DR Congo. Dua wakil benua Afrika itu memang membuat kejutan besar dan tidak hairanlah apabila kedua-dua negara terbabit menjadi bualan pelbagai pihak.

    Habuan bagi keringat Cape Verde ialah pertembung dengan Argentina di Miami, Florida, Jumaat ini manakala DR Congo akan membuat perhitungan dengan England di Atlanta pada Rabu.

    Berbalik pada bicara pertembungan di antara Belanda - Maghribi.

    Perlawanan tersebut bakal menjadi tontonan global pada awal pagi nanti. Tambahan pula corak permainan kedua-dua pasukan yang berorientasikan serangan memang menepati saingan penting ini.

    Apa pun, takdir menentukan yang dua pasukan terbaik itu terpaksa bertembung lebih awal ketika kedua-duanya dilihat berpotensi melangkah lebih jauh andai perkiraan adalah berbeza.

    Dalam kancah Piala Dunia 2022 di Qatar, Maghribi gah ke separuh akhir manakala Belanda mara ke suku akhir sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina.

    Maghribi jelas masih menunjukkan selera besar yang sama berpandukan kepada tiga perlawanan dalam peringkat kumpulan yang berakhir kelmarin.

    Apakah kelebihan skuad The Atlas Lions itu? Tidak dinafikan faktor kekuatan mental dalam perlawanan berprofil tinggi menjadi kekuatan asas mereka.

    MENARIK:  Imigresen teliti dakwaan pengarah syarikat dipukul ketika operasi

    Cuma, aspek disiplin harus ditonjolkan sepenuhnya dalam perlawanan menentang gergasi Eropah. Hal itu kerana, dengan gempuran tajam Belanda boleh menghukum walaupun dengan sedikit kesilapan Maghribi.

    Sejumlah 10 gol dalam saingan peringkat kumpulan oleh Belanda boleh menerbitkan segala rasa gerun dan Maghribi tentu mengerti benar hakikat tersebu.

    Untuk meneruskan cabaran Asia, kita hanya dapat berharap kepada ketangkasan Samurai Biru serta Australia yang berpeluang mengintai tempat dalam pusingan 16 terbaik selepas ini.

    Mampukah mereka membuat kejutan ketika dicengkam ujian besar?

    Struktur bola sepak yang lebih kemas dari Jepun sudah menjadi senjata baru pasukan tersebut.

    Tanggung aib tahun lalu

    Mereka tidak lagi menyerang dan menyerang saja. Mereka sudah belajar mengawal tempo permainan untuk menjerat lawan. Tambahan pula, sebilangan besar pemain mereka yang beraksi di liga Eropah hadir bersama pengalaman dan idea baru.

    Namun, anak didik Hajime Moriyasu perlu menggandakan usaha dan mencari muslihat terbaik untuk menghampakan jentera serangan padu Brazil diketuai Vinicius Jr, Matheus Cunha, Neymar dan Raphina.

    Bagi pasukan juara dunia lima kali itu, misi membalas dendam juga makin terbayang.

    Hal ini kerana, luka dan aib yang ditanggung pasukan Selecao akibat libasan pedang samurai Jepun dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Okt tahun lalu tentu masih terasa.

    Dalam perlawanan tersebut Brazil dimalukan 2-3 oleh Samurai Biru.

    Ia juga adalah kemenangan pertama Jepun dalam 14 pertemuan yang pernah berlangsung. Kali ini sudah tentu Jepun bernafsu besar mahu mengulangi detik yang sangat bermakna itu.

    Bagi Australia, Mesir akan menjadi penghalang besar dalam saingan di Texas pada Jumaat ini.

    Andai corak permainan agresif dan fizikal dapat ditonjolkan secara efektif oleh Socceroos, bererti skuad diketuai Mohamed Salah bakal berdepan gelora besar nanti.

    Selamat berjuang Asia!


    V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah