Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang membanjiri Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bagi memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan pada aksi Piala Asean 2026 menentang Laos malam tadi.
Menurut FAM, kehadiran ribuan penyokong yang memberikan sorakan tanpa henti sepanjang perlawanan menjadi suntikan moral dan pembakar semangat kepada barisan pemain untuk mempamerkan aksi terbaik demi negara.
“FAM menghargai komitmen semua penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang Harimau Malaya.
“Sokongan luar biasa daripada penyokong sentiasa menjadi kekuatan utama buat skuad kebangsaan dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, FAM berharap sokongan padu itu akan diteruskan ketika skuad negara menentang Filipina di lokasi sama pada 8 Ogos ini.

“Marilah kita bersama-sama memenuhi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sekali lagi bagi memberikan suntikan semangat kepada Harimau Malaya dalam usaha meneruskan cabaran dalam Piala Asean.
“Ayuh, terus bersatu hati memenuhi stadium dan menjadi pemain ke-12 buat Harimau Malaya,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Ultras Malaya menggesa penyokong mengosongkan stadium bagi semua perlawanan Harimau Malaya sehingga kemelut yang melanda bola sepak negara diselesaikan.
Bagaimanapun, di sebalik gesaan boikot itu, Harimau Malaya berjaya merakamkan kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Laos 4-0 semalam, sekali gus menyaksikan Malaysia kini gah berada di persada Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.





