Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan penggunaan istilah “tohmahan” terhadap dakwaan terhadap bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Md Akin.
Ketua pesuruhjayanya Azam Baki berkata mereka tetap menggunakan perkataan itu dalam kenyataan media hari ini kerana beranggapan ia membawa maksud yang sama.
“Kami stick (berpegang) kepada tohmahan,” kata Azam dalam jawapannya terhadap soalan Malaysiakini.
Terdahulu Malaysiakini memohon penjelasan berkaitan penggunaan istilah berbeza bagi kenyataan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Kenyataan media SPRM versi Melayu menggunakan perkataan “tohmahan” sedangkan versi Inggeris pula “allegation” (dakwaan atau tuduhan).
Menurut kamus atas talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tohmahan memberi maksud negatif, iaitu tuduhan berdasarkan syak wasangka serta tuduhan yang melulu.
Sementara itu, penggunaan istilah “tohmahan” turut dipertikaikan warga maya di Facebook SPRM sendiri atas anggapan badan itu membuat keputusan sebelum menyiasat.

Kenyataan SPRM hari ini dikeluarkan bagi mengumumkan pendirian mereka untuk menyiasat segera dakwaan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.
“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan,” kata Azam.

Tei, yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, semalam mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Shamsul meletakkan jawatan tidak lama selepas Malaysiakini meminta komennya berkaitan dakwaan itu tetapi mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej kerajaan.





