Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini memohon maaf selain merayu kepada bekas pemimpin dan aktivis parti itu agar kembali ke landasan perjuangan PKR.
"Pertama, otai-otai yang kadang-kadang ialah biasa.. sila kembali…rakan-rakan saya yang lain, yang mungkin rasa sedikit terpinggir.
"Kalau ada apa-apa kesilapan kita, saya mohon maaf, kembalilah kepada landasan perjuangan kita," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pagi ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Penerangan Wanita PKR, Ginie Lim memuat naik gambar bersama Tian Chua dan Xavier Jayakumar di kongres berkenaan.
Tian dipecat daripada parti itu selepas bertanding sebagai calon bebas di parlimen Batu pada pilihan raya umum lalu, manakala Xavier keluar daripada pKR pada 2021 untuk menyokong Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Seruan Anwar itu dibuat ketika PKR kini berdepan masalah dalaman, ketegangan dengan BN serta menghadapi beberapa kekalahan dalam pilihan raya.
Anwar ketika pilihan raya negeri Sembilan baru-baru ini memohon maaf kepada pengundi India atas kesilapannya menggunakan istilah pembinaan ‘kuil haram’ di atas tanah yang dipertikaikan.
Bagaimanapun, PKR menerima tamparan hebat dalam pilihan raya itu susulan beberapa faktor, termasuk kerjasama BN dan PN yang menyatukan undi Melayu, perubahan sokongan pengundi India kepada BN serta kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina.
PKR hanya berjaya mengekalkan dua daripada lima kerusi yang dimenanginya di Negeri Sembilan selepas bertanding di 16 kawasan. Malah bekas Menteri Besar, Aminuddin Harun turut tewas di kerusi yang ditandinginya.
Sebelum itu PKR turut mencatatkan prestasi buruk di Johor dan Sabah.
Masalah dalam PKR semakin buruk selepas Ahli Parlimen Subang Wong Chen keluar daripada parti dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Bersama ialah parti serpihan PKR yang diterajui oleh bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas naib presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Kedua-dua pemimpin itu mengambil keputusan keluar PKR, beberapa bulan selepas Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan timbalan presiden dan menewaskan Rafizi.
Rafizi turut meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Selain itu, susulan prestasi buruk PKR di Negeri Sembilan, enam ketua cabang PKR menghantar surat kepada Anwar bagi menilai semula kepimpinan Aminuddin.





