Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengungkapkan pantun mengenai persahabatan dan permuafakatan ketika hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi tumpuan susulan persaingan politik kedua-dua gabungan itu di peringkat negeri.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menulis:
“Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan;
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.”
Hantaran itu disusuli tanda pagar #YakinMADANI.
Anwar turut memuat naik beberapa gambar yang memaparkan dia bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan anggota jemaah menteri lain selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Dalam gambar berkenaan, Anwar dan Zahid dilihat berbual serta bergelak ketawa manakala anggota kabinet lain turut kelihatan dalam suasana santai.
Hantaran berkenaan muncul ketika hubungan PH dan rakan sekutu kerajaan persekutuan berdepan tekanan selepas kedua-duanya bertembung dalam PRN Johor pada 11 Julai lalu.
Ketegangan semakin memuncak apabila BN menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Menerusi pembahagian kerusi itu, BN bertanding di 25 dari 36 kerusi manakala PN meletakkan calon di baki 11 kerusi. Semua calon BN dan PN berdepan calon PH.

Kerjasama berkenaan mencetuskan desakan daripada Pemuda PH supaya menteri dan timbalan menteri BN meletakkan jawatan, selain menimbulkan perbalahan terbuka antara pemimpin kedua-dua gabungan.
Anwar sebelum ini memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam kerajaan Persekutuan ketika berkempen.
Bagaimanapun, kepimpinan tertinggi PH dan BN berulang kali menegaskan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal utuh dan kerjasama pentadbiran akan diteruskan.
Zahid juga menegaskan Umno akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno lalu.

Penafian Zahid itu hadir di tengah-tengah usaha mengakrabkan hubungan BN dan PAS, termasuk melalui kerjasama pilihan raya.
Meskipun begitu, ada pimpinan PN yakin penjajaran politik baru akan berlaku di peringkat pusat selepas pilihan raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini menjelaskan kerjasama PN dengan BN dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) melangkaui nilai sebuah "perkahwinan".
Hadi berkata, BN dan PN akan saling membantu dalam PRN Negeri Sembilan ini.

PN dan BN dilihat mula menjalinkan kerjasama, meski secara tidak rasmi, pada PRN Johor lalu apabila PAS mengarahkan pengundinya supaya menyokong calon BN di kawasan tidak ditandingi PN.
PAS tewas kesemua kerusi ditandingi dalam PRN Johor, sementara BN berjaya menang besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).






