Adun Kapayan Chin Tek Ming menggesa Bersih mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan menyekat beberapa pemimpin dan pegawainya daripada memasuki Sabah.
Chin, yang juga seorang peguam, berkata cabaran di mahkamah dapat menentukan siapa yang membuat keputusan itu, sumber kuasa yang digunakan serta sama ada budi bicara berkenaan dilaksanakan bagi tujuan yang sah di sisi undang-undang.
“Dalam keadaan ini, saya berpandangan Bersih wajar mendapatkan nasihat undang-undang dan mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan atau tindakan menyekat mereka daripada memasuki Sabah,” katanya dalam kenyataan semalam.
“Ini bukan semata-mata soal sama ada seseorang aktivis “suka” atau “tidak suka” kepada kerajaan.

"Ini soal yang lebih besar: Adakah kuasa eksekutif telah digunakan mengikut undang-undang,” katanya.
Gesaan itu dibuat selepas Bersih Sabah berkata pegawai advokasinya, Anas Nor’azim, disekat daripada memasuki Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 29 Ogos.
Pengerusi Bersih Faisal Aziz dan ahli jawatankuasa pemandunya, Alyaah Hani, turut dimaklumkan bahawa mereka disekat daripada memasuki negeri itu sejak 30 Jun.
Pada hari sama, Pengarah Eksekutif Bersih Asraf Sharafi dinafikan kemasukan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum dihantar pulang ke Kuala Lumpur.

Asraf dilaporkan dimaklumkan namanya telah diletakkan di bawah Notis Amaran Sabah (NAS).
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusoff kemudian mengesahkan Asraf dinafikan kemasukan menggunakan kuasa imigresen Sabah, tetapi tidak mendedahkan alasannya.
Pembantu KM nafi Hajiji terbabit
Kerajaan Sabah sebelum ini menolak dakwaan Ketua Menteri Hajiji Noor sendiri mengarahkan Asraf disekat daripada memasuki negeri itu.

Setiausaha politik Hajiji, Azrul Ibrahim turut dilaporkan menyifatkan dakwaan yang mengaitkan ketua menteri dengan keputusan itu sebagai tidak berasas dengan berkata Hajiji sedang menunaikan umrah di Arab Saudi ketika itu.
Azrul berkata pihak berkuasa berkaitan membuat keputusan mengeluarkan NAS selepas mempertimbangkan penilaian risiko, peruntukan undang-undang dan kepentingan keselamatan Sabah.
Bagaimanapun, Chin berkata kes terbaru itu menunjukkan sekatan berkenaan tidak lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil.
“Ini bukan lagi satu kes terpencil. Ini sudah menjadi satu corak yang memerlukan penjelasan,” katanya.

Sambil menegaskan sokongannya terhadap autonomi imigresen Sabah, Chin berkata kuasa itu bukan mutlak dan tidak boleh digunakan untuk mengelakkan akauntabiliti atau membungkam masyarakat sivil.
“Autonomi bukan kuasa mutlak. Autonomi bukan lesen untuk bertindak sesuka hati.
“Autonomi bukan alasan untuk mengelakkan daripada aakauntabiliti.
“Dan yang paling penting, autonomi tidak boleh digunakan sebagai alat untuk membungkam suara masyarakat sivil,” tegasnya.

Sehubungan itu, Chin menggesa kerajaan Sabah dan Jabatan Imigresen menyatakan jika kerajaan negeri mengarahkan sekatan berkenaan, siapa yang membuat keputusan itu, peruntukan undang-undang yang digunakan serta alasan khusus setiap individu berkenaan disekat.
Bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan sebelum ini mencabar keputusan pada 2014 yang menyekatnya daripada memasuki Sabah, tetapi akhirnya gagal.
Pada 2017, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus mengekalkan keputusan terdahulu bahawa Seksyen 59A Akta Imigresen secara umumnya menghalang semakan kehakiman substantif terhadap keputusan imigresen Sabah, kecuali atas alasan berkaitan prosedur.
Ini bermakna sebarang cabaran baru oleh Bersih mungkin perlu tertumpu pada persoalan sama ada pihak berkuasa mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya atau tidak.
Pertahan autonomi imigresen Sabah
Pertikaian terbaru itu juga berlaku ketika kerajaan Sabah terus menegaskan kuasanya dalam urusan imigresen.
Pada Julai, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Joniston Bangkuai memberitahu Dewan Undangan Negeri bahawa Sabah telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 tidak boleh menghakis autonomi imigresen negeri itu.
Kerajaan negeri bertegas bahawa Jabatan Imigresen Sabah perlu terus mengawal pintu masuk negeri berkenaan, manakala pengeluaran notis larangan mendarat kekal di bawah bidang kuasanya.

Chin berkata dia tidak mempertikaikan hak itu dengan menegaskan dia mempertahankan MA63 dan "autonomi imigresen Sabah.”
“Tetapi saya juga mempertahankan rule of law, akauntabiliti pentadbiran dan hak rakyat untuk mendapatkan penjelasan daripada kerajaan,” katanya sambil memberi amaran sekatan tanpa penjelasan terhadap tokoh masyarakat sivil boleh mewujudkan duluan yang lebih luas.
“Hari ini aktivis reformasi pilihan raya.
“Esok aktivis alam sekitar. Lusa pejuang hak tanah adat.
“Kemudian mungkin wartawan, ahli akademik, peguam atau mana-mana rakyat yang berani bersuara,” katanya.
Chin menegaskan dia tidak menuduh pengarah Imigresen Sabah menyalahgunakan kuasanya, tetapi berkata persoalan serius mengenai cara kuasa itu dilaksanakan memerlukan penjelasan.
“Kuasa yang diberikan kepada Sabah adalah amanah rakyat, bukan hak peribadi kerajaan,” katanya.





