Aktivis mahasiswa Brendon Gan disiasat polis selepas mendedahkan dakwaan salah laku kewangan dan kelemahan sistemik dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Gan yang juga pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) berkata siasatan terhadapnya berkait satu hantaran media sosial yang dimuat naik selepas pertemuannya dengan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir serta pegawai kanan kementerian.
Bercakap kepada pemberita, Gan menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan menakut-nakutkan pengkritik yang membangkitkan isu berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
"Dalam pertemuan dengan menteri, pihak menteri langsung tidak menafikan persoalan yang kami bangkitkan mengenai bagaimana AUKU bukan sahaja sebuah akta drakonian, malah secara sistemik menghalalkan rasuah.

"Sekiranya dalam AUKU sendiri wujud peruntukan yang membekalkan perlindungan undang-undang kepada mereka yang meluluskan tender, maka siapa yang akan memastikan akauntabiliti dan integriti di universiti," katanya.
Terdahulu, Gan memaklumkan dia disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur pagi tadi.
Dia hadir ke IPD Brickfields pada jam 10 pagi dan memberi keterangan selama hampir 90 minit. Menurutnya, siasatan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan seorang pegawai kanan kepada menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beberapa wakil mahasiswa turut hadir sebagai tanda solidariti terhadap Gan.
‘Lubuk rasuah’
Sebelum ini, Gan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan KPT menyiasat dakwaan rasuah dalam sistem perolehan universiti di seluruh negara.
Dia mendakwa sistem perolehan universiti merupakan “lubuk rasuah dan manipulasi”.
Susulan itu, Gan berkata dia mengadakan pertemuan dengan menteri bagi mendesak KPT menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
Sementara itu, peguamnya, Sitinur Sabrina Mohammad berkata Gan sepatutnya dilindungi sebagai pemberi maklumat demi kepentingan awam, bukannya disiasat sebagai suspek jenayah.
"Ini bukan soal jenayah, tetapi soal kebebasan hak bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Seksyen 506 yang melibatkan intimidasi langsung tidak terpakai kerana tiada sebarang unsur keganasan dikesan," katanya.
Sabrina turut mengingatkan bahawa tindakan terhadap aktivis mahasiswa boleh mewujudkan kesan menakutkan (chilling effect) yang menghalang orang ramai, khususnya mahasiswa, daripada menegur salah laku atau kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.





