Tindakan kembali menyertai Umno umpama menolong "anjing yang tersepit", demikian kritik Adun Rembia Muhamad Jailani Khamis yang juga anggota Umno Melaka.
Walaupun menjadi anggota Umno, Jailani mengingatkan Umno ataupun kembali semula ke pangkuan parti itu jelas satu pengkhianatan yang pasti kepada bumiputera, Melayu kerana parti itu tidak lagi memperjuangkan agenda berkenaan.
"Memandangkan Umno tidak lagi memperjuangkan perkara ini kecuali berlagak bahawa mereka masih mengambil berat.
"Umno kini meletakkan jawatan survival dan keuntungan parti berbanding matlamat dan objektif asal parti iaitu mempertahankan hak orang Melayu dan bumiputera.
"Menolong atau masuk Umno umpama 'menolong anjing yang tersepit', bak kata pepatah Melayu," katanya pada satu kenyataan.
Untuk rekod Muhamad Jailani merupakan bekas ahli Umno yang kemudian melompat menyertai PKR dan menjadi Adun Rembia pada pilihan raya 2018.
Pada Mac 2020, Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN dalam usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan ketua menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari yang menumbangkan kerajaan PH Melaka.
Sulaiman Md Ali kemudian diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly.
Selepas dipecat PKR, Jailani bertindak menyertai semula Umno pada Jan 2021 dan dia mempertahankan kerusi DUN pilihan raya negeri atas tiket BN.
Jailani yang juga bekas pengerusi Muafakat Nasional (MN) Melaka turut mencetuskan kontroversi apabila hadir berkempen di pentas PN pada PRK Simpang Jeram di Johor, Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, Umno tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Jailani setakat ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Jalauddin Alias berkata, parti itu sedia mempertimbang untuk menerima kembali pemimpin dan ahlinya yang telah dipecat.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Jaliani mendakwa Umno akan meninggalkan orang yang telah membantunya selepas mereka berkuasa.
"Disaat mereka kuat dan berkuasa lagi mereka akan membuang orang yang menolongnya. Ini saya sendiri belajar dalam pengalaman saya berurusan dengan Umno di Melaka.
"Umno adalah parti yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab yang harus dielakkan oleh orang Melayu dan bumiputera daripada menyertai atau bekerjasama," katanya lagi.





