25.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    20 agensi mula siasat kebakaran paip gas Putra Height

    Shopee Sale

    Sebanyak 20 agensi akan memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pagi ini.

    Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan terlibat.

    Ketua Polis Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata setakat ini, Jalan Persiaran Harmoni ditutup secara berperingkat bagi memudahkan pergerakan pasukan keselamatan namun akan dibuka, juga secara berperingkat, kepada penduduk yang terjejas.

    "Satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi terlibat bagi menjalankan siasatan dan tindakan susulan yang perlu dilakukan di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Subang Jaya.

    Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata pihaknya memulakan beberapa gerak kerja utama termasuk penaksiran kerugian ke atas rumah dan kenderaan yang terjejas susulan insiden letupan paip gas itu.

    Beliau berkata satu pasukan turut ditempatkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti insiden kebakaran.

    "Kita akan bersama TNB untuk membuat penilaian situasi berhubung pendawaian elektrik khususnya pada yang terdedah… kita akan melihat sama ada pendawaian itu selamat atau perlu tindakan lanjut bagi membolehkan kita buat penyambungan segera di kawasan tersebut," katanya.

    MENARIK:  14 barangan rumah Jamal disita bagi bayar kos tertunggak pada Teresa Kok

    Nor Hisham pasukan bomba juga memberi perhatian terhadap struktur rumah yang terbakar atau terkena impak letupan bagi memastikan keselamatan penduduk.

    “Daripada segi keselamatan juga, kita akan mula melihat kepada struktur rumah yang terbakar dan yang terkena letusan itu. Kalau yang tak selamat ataupun membahayakan, mungkin kita buat kerja-kerja meruntuhkan, contohnya struktur seperti bumbung,” katanya.

    Beliau berkata JBPM turut menggerakkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat untuk mempercepat proses siasatan selain memudahkan pergerakan penduduk yang terjejas untuk kembali ke kediaman mereka sepantas mungkin.

    Tinjauan Bernama mendapati puluhan penduduk yang terjejas dalam insiden itu sudah berkumpul di lokasi kejadian seawal 7.30 pagi bagi mengetahui perkembangan dan status rumah mereka selain menunggu giliran untuk pulang bagi mendapatkan barang keperluan serta dokumen penting.

    Selain itu, Pasukan Unit Anjing Pengesan dan Unit Siasatan Forensik dari Bukit Aman dilihat masuk ke lokasi kejadian.

    Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata pemeriksaan akan dilakukan oleh agensi yang terbabit hari ini sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

    Seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam insiden itu dan mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Putra Height serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah