
Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyatakan tindakan spontan anak lelakinya, Muhammad Afwa menutup muzik ketika sedang menyanyikan lagu Nazam Lebaran gara-gara ingin tidur siang.
Silap tumpang bilik Afwa

Menurut Siti, 46, dia dan anak perempuannya, Siti Aafiyah menggunakan bilik Afwa untuk membuat secara langsung (live) di Tiktok selain mengakui itu adalah kesilapan dirinya.
Sebenarnya saya yang salah. Saya buat ‘live’ hari tu di bilik dia. Selalunya tengahari dia kena nap (tidur sekejap) dekat bilik dia.
Bila dah mengantuk sangat, dia mudah marah. Ibu pula tak stop menyanyi lagi. Dia dah keluar masuk keluar masuk bilik itu. Kami kunci pintu dulu tapi dia ketuk-ketuk.
Tambah pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin, taktik memberikan I-pad untuk mengalih perhatian tidak berjaya kerana Afwa dengan selamba menutup muzik selepas berjaya memasuki ruang kamarnya.
Sekali Afwa dapat buka pintu, dia masuk dengan I-pad tu selamba tekan. Tutup (muzik) itu, dia kata ibu bisinglah.
Afwa ni orang kata anak kedua ini memang lain macam sikit. Afwa ini dia ada kelakar dia sikit.
Kadang-kadang kat rumah pun dia yang mencuit hati saya. Kakak dia serius sikit. Kakak dia garang.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Silaturahim Ramadan & Berbuka Puasa anjuran Yayasan Nurjiwa bekerjasama dengan Yayasan Prihatin & Cuckoo.
Kongsi rezeki

Majlis itu diadakan bagi meraikan anak yatim, pelajar tahfiz, penggiat seni serta pengamal media yang memerlukan bantuan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap komuniti.
Bukan itu saja, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan khas bagi membantu meringankan beban golongan yang diraikan.
Seramai 30 anak yatim dari PPR Desa Rejang, Kuala Lumpur dan 50 pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Islah (MTQI) Shah Alam menerima sumbangan duit raya, baju raya serta bag makanan.
Dalam majlis yang sama, 30 penggiat seni dan pengamal media turut menerima sumbangan sokongan kewangan, bag makanan dan baju raya.
Pihak Cuckoo turut menyampaikan 3 unit penapis air kepada sekolah dan pusat tahfiz.
Sementara itu, Program Sedekah Nurjiwa merupakan inisiatif yang dilakukan oleh Yayasan Nurjiwa bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta dalam misi amal dan kebajikan boleh turut serta dengan membuat sumbangan secara berterusan ke tabung Yayasan Nurjiwa
Penyumbang boleh memilih untuk membuat sumbangan serendah RM30, RM60, RM90 setiap bulan atau sumbangan tetap tahunan.
Setiap sumbangan akan diberikan pengecualian cukai dan pihak Yayasan Nurjiwa berhasrat mendapatkan pelindungan insurans kepada penyumbang namun perkara ini masih sedang diperhalusi.
Anda boleh menyertai program ini dengan mengisi borang di laman sesawang Yayasan Nurjiwa di http://www.Nurjiwafoundatiom.com atau terus mengimbas QR kod yang disediakan.





