Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, masih berpeluang untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya pada masa hadapan sekiranya rayuan terhadap sabitan kes menghasutnya dibenarkan oleh mahkamah.
Bagaimanapun, peguamnya, Rafique Rashid Ali memaklumkan anak guamnya itu tetap terlepas peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan bermula dengan penamaan calon pada 18 Julai ini.
Menurut Rafique, pihak pembelaan telah menerima arahan untuk memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bagi mencabar keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam.
"Dia tidak boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya dalam masa lima tahun kecuali rayuan berjaya. Katalah rayuan berjaya, sabitan dan hukuman diketepikan, dia boleh bertanding.
"Tetapi (sementara menunggu proses itu), memang dia tak boleh bertanding untuk PRN Negeri Sembilan. Penamaan calon pada 18 Julai ini tidak sempat untuk melupuskan rayuan," jelas Rafique ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia menambah, mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, pemfailan rayuan sahaja tidak memadai untuk membatalkan kehilangan kelayakan bertanding tersebut selagi hukuman belum diketepikan.
Terdahulu, Chegubard dikenakan hukuman denda RM5,000 selepas didapati bersalah atas tuduhan menerbitkan kandungan menghasut di media sosial dua tahun lalu.
Jelas Rafique, dalam prosiding di mahkamah semalam, timbalan pendakwa raya memohon Chegubard dikenakan hukuman penjara tiga tahun sebelum mahkamah memutuskan hukuman denda dikenakan terhadapnya.
Rafique berkata, terdapat dahuluan kes sebelum ini melibatkan ahli politik di mana hukuman dikenakan tidak melebihi RM2,000 dan pesalah masih boleh menyertai pilihan raya seperti Adun Kijal Razali Idris, yang didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan semasa berucap pada PRK Kemaman 2023.
"Hukuman RM5,000 dan penjara tiga tahun itu paling maksimum, kita merayu mahkamah mengambil kira dua perkara penting iaitu dia pemain politik aktif sayap pembangkang sebagai anggota Parti Wawasan Negara (Wawasan).
"Ada juga ura-ura dia akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan mewakili Wawasan di salah satu kerusi DUN, tetapi keputusan mahkamah tidak memihak kepada kita," katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan kandungan menghasut di media sosial pada 26 April lalu.
Dia dituduh mengaitkan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dua individu lain sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.





