
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terbuka untuk berbincang ekoran kenyataan Pengarah Urusan SRC, Edwin Tan mengenai kira-kira 11 lagu nyanyiannya yang masih belum dilancarkan.
Bersedia untuk berbincang
Ketika ditemui , Siti atau nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, akui terdapat perbezaan dari segi keadaan vokalnya kerana ada lagu yang dirakam pada usia belasan tahun.
Menurutnya, tempoh untuk merakam semula memerlukan komitmen yang panjang.
Buat masa sekarang, belum ada perbincangan secara terperinci dengan pihak Suria Records (SRC) memandangkan mereka seperti keluarga.
Memang betull saya masih ada lagu sebab memang kita akan rakam lebih. Cuma keadaan itu dah berbeza. Suara dan ton pun berbeza.
Bagi mereka yang suka cara nyanyian lama, mungkin boleh terima. Cuma saya pun dah tak ingat lagu apa.
Sekarang saya sedang menyiapkan album tradisional dan sudah memulakan proses mengumpul bahan dengan jangkaan siap sebelum akhir tahun.
Jadi saya kena sempurnakan dahulu album baharu di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL).
Siti berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran OST dan Muzik Video Filem Telaga Suriram yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Isnin.
Terbuka untuk beri pada penyanyi lain

Berkongsi lebih lanjut, pelantun lagu Purnama Merindu itu memaklumkan bahawa dirinya terbuka untuk baki lagu yang belum dilancarkan itu diberikan kepada penyanyi lain.
Sudah tentu boleh kalau artis lain nak merakamkan lagu itu. Saya tiada halangan sebab itu hak SRC, kalau nak bagi artis lain nyanyi, tiada masalah.
Terdahulu, syarikat rakaman Suria Records (SRC) mendedahkan pihaknya masih memiliki kira-kira 11 lagu nyanyia Siti Nurhaliza yang belum dilancarkan.
Lagu-lagu tersebut telah dirakam ketika penyanyi tersohor itu masih bernaung di bawah label berkenaan.
Menurut Edwin Tan, dia tidak menolak kemungkinan untuk lagu-lagu itu diterbitkan suatu hari nanti.





