
Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu mengakui tidak mudah mengambil keputusan untuk bercerai dengan bekas suami, Muhammad Sufian Che Isa.
Minta petunjuk

Ketika ditemui , Mas Idayu atau nama lengkapnya Mas Idayu Mesnun berkata, dia juga telah merujuk pihak agama dan meminta nasihat daripada mereka sebelum memutuskan untuk mengambil jalan perpisahan.
Dua tahun saya bertahan dan saya sayangkan perkahwinan ini tapi saya rujuk kepada kadi yang nikahkan saya, ustaz serta mutawif dan saya layak bukan suka-suka.
Saya solat istikarah setiap malam untuk minta petunjuk malah sejak bulan Rejab saya sentiasa bersujud meminta petunjuk Allah.
Menurut penyanyi berusia 53 tahun itu, dia sebelum ini ke mahkamah untuk memfailkan perceraian tanpa pengetahuan Sufian.
Bagaimanapun, Mas Idayu tidak pernah menyembunyikan kehadirannya ke mahkamah dari pengetahuan sesiapa.
Saya tuntut cerai tak sorok-sorok tapi tak cerita pada orang, tapi Allah membantu lindungi aib penceraian saya.
Saya juga tak rahsiakan kedatangan saya ke mahkamah.
Mas Idayu berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya bersama Farez Adnan yang berjudul Air Titik Ke Batu yang berlangsung di Puchong, Selangor pada Rabu.
Lega dengan perceraian

Dalam pada itu, pelantun lagu Cintaku 100% akui dia tidak bersedih berlaku perceraian namun berasa ralat dengan sokongan peminatnya.
Saya sebenarnya tak sedih tentang penceraian saya ini. Cuma saya ralat dan kesian kepada mereka yang menaja perkahwinan kami.
Saya gembira sangat-sangat dan saya harap pihak sana pun begitu.
Sementara itu, Mas Idayu memohon agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya memanipulasi kisah rumah tangganya kerana hanya dia yang mengetahui perkara sebenar.
Untuk orang-orang yang marahkan saya, sebenarnya saya yang menuntut (cerai). Kalau isteri menuntut cerai tanpa sebab tak bau syurga tapi saya ini sangat-sangat layak.
Jangan manipulasi cerita atau play victim kalau tak tahu cerita ketika saya menuntut penceraian.
Terdahulu, Sufian yang juga Penerbit Eksekutif TV3 mengesahkan sudah berpisah dengan Mas Idayu pada 4 Mac lalu.
Untuk rekod, Mas Idayu dan Sufian berkahwin pada September 2022. Difahamkan mereka mula saling mengenali sejak program Mentor 3 iaitu pada tahun 2008 dan semakin akrab pada 2021.
Sebelum itu, Sufian pernah berkahwin dengan personaliti TV, Intan Suraya namun bercerai dan mempunyai seorang anak.
Mas Idayu juga pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Aman Graseka pada tahun 1997 namun bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.





