Penampilan terbaharu anak kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin iaitu Putri Dahlia di acara Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung pada Sabtu, mencuri perhatian ramai.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Anak Nora Ariffin Teruja Jungkook BTS Layan Lagu ‘Old Love’
Artikel Berkaitan: Putri Dahlia Serah Keputusan Kepada Nora Ariffin, Sifatkan Ayah Tiri Lelaki Baik & Sabar – ‘Dia Selalu Ajak Solat Jemaah’
‘Saya hanya pakai tudung tetapi tidak faham’

Ketika ditemui , Putri Dahlia, 21, yang kini tidak lagi memakai tudung menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat atas pilihan peribadi dan bukan kerana mahu mencetuskan kontroversi.
Saya mula pakai tudung dari umur 6 tahun, saya tak dapat belajar agama saya sendiri. Saya hanya pakai tetapi tidak tahu (tak faham).
Orang lain boleh buat cerita apa saja tetapi keputusan saya membuka tudung bukan untuk mencetuskan kontroversi atau memberontak.
Dalam pada itu, Dahlia menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak lagi berhijab bukan sekadar soal penampilan, sebaliknya langkah untuk memulakan perjalanan baharu dalam memahami agama dengan lebih mendalam.
Saya hanya mahu mulakan perjalanan baru dan nak belajar cari jalan sendiri dalam agama. Saya sekarang lebih rapat dengan Allah walaupun sudah tidak bertudung.
Kalau sesiapa nak kecam, ini antara saya dengan Allah sahaja.
Putri Dahlia berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara AIM24 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada malam Sabtu.
Keluarga beri sokongan

Sementara itu, pelantun lagu ‘Aku Ada’ menegaskan bahawa pilihannya tidak mempunyai kaitan dengan kisah peribadi ibunya. Malah keluarga turut memberi sokongan terhadap keputusannya itu.
Ibu dan keluarga beri sokongan kepada saya. Mereka cakap saya nampak cantik. Apa yang penting sebagai orang Islam perlu jadi orang baik.
Sebelum ini saya pernah cakap dengan keluarga bahawa perkara ini (buka tudung) akan terjadi tetapi mereka cakap tak mengapa kita sama-sama doa asalkan saya gembira dan menunaikan solat.
Kalau nak ikut cakap orang sampai bila-bila pun saya rasa kita boleh jadi gila. Contoh terbaik adalah keluarga saya, mak saya artis dia kena ikut cakap orang sampai sekarang dah jadi ‘gila’. Saya saja anak yang pentingkan kesihatan mental.
Ditanya mengenai responnya terhadap penerimaan orang ramai, Dahlia berkata dia kini memilih untuk tidak lagi membaca komen mahupun kecaman netizen. Sebaliknya dia mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap karier muziknya.
Saya sebenarnya tak baca komen atau kecaman netizen. Bukan saya tidak peduli tetapi saya sedang fokus untuk album baharu.
Saya nak tukar nama daripada Putri Dahlia kepada Dahlia saja. Saya rasa nama Putri Dahlia itu sinonim sebagai ikon islamik.
Saya nak jadi diri saya, Dahlia saja. Di masa hadapan saya memang tidak akan baca komen-komen netizen dan hanya mahu fokus hubungan dengan Allah saja.
Untuk rekod, Putri Dahlia merupakan anak perempuan kepada Nora dan komposer Allahyarham Johan Nawawi. Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992.
Allahyarham meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
The post [VIDEO] ‘Saya Nak Jadi Diri Sendiri, Fokus Hubungan Dengan Allah’ – Anak Nora Ariffin Pilih Buka Tudung first appeared on OHBULAN!.





