
Pelakon Ashraf Muslim berpendapat bahawa sifat toleransi dalam membuat keputusan sebelum berpoligami adalah penting bagi mengelakkan pengakhiran yang tidak baik.
Mula dengan cara baik

Ketika ditemui , pemilik nama Muhd Ashraf Muslim berkata perkahwinan merupakan perkara yang baik dan harus dimulakan dengan cara elok untuk mengelakkan masalah yang akan berlaku kelak.
Apa sahaja keputusan yang dibuat biarlah harmoni. Jangan lakukan perkara yang baik dengan cara yang tidak baik supaya tidak ada kekhilafan atau kesan yang tidak baik selepas keputusan itu.
Dalam keluarga, percaya itu kena ada tetapi nak bina kepercayaan itu susah. Sekali hilang susah nak dapatkan semula.
Ashraf berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat pelakon Azlan Komeng yang ingin berpoligami.
Sementara itu, pelakon drama Seribu Tahun itu turut menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin berpoligami agar tidak terlalu terbuka untuk berkongsi di media sosial tentang keputusan yang akan dibuat.
Hal rumah tangga jangan uar-uarkan kepada masyarakat dan jangan aibkan antara satu sama lain.
Elakkan apa-apa kenyataan keluar dalam media sosial seperti hal dalam kain, isu periuk nasi atau cerita atas katil. Apa sahaja biarlah cerita sesama sendiri, bincang baik-baik.
Elak kecam tindakan orang

Mengulas lanjut, Ashraf berkata orang ramai juga perlu mengelakkan untuk mencampuri urusan dan menghukum keputusan yang dibuat.
Kita tidak tahu sebab kenapa mereka membuat keputusan seperti itu. Perkara yang baik kalau kita keruhkan ia akan memberi kesan yang tidak baik di sisi agama kita.
Berhati-hati apabila berkongsi di media sosial sebab kita tidak tahu apa yang akan dibangkitkan. Sekarang banyak fitnah dilakukan jari-jemari atau keluar dari mulut.
Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan isteri Azlan, Nilam memberi bayangan Azlan bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita.
Untuk rekod Azlan dan Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 dan belum dikurniakan cahaya mata.





