Penyanyi popular, Tomok tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila berpeluang menghiburkan orang ramai menerusi Fiesta Tun Teja yang bakal berlangsung di Dataran Temerloh, Pahang, pada 6 hingga 8 November ini.
Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Bapa Duduk Sebelah Tomok Dalam Penerbangan Haji – ‘Umi Kata Dia Baik Layan Abah Berborak’
Artikel Berkaitan: Tomok & Isteri Syukur Terpilih Menjadi Tetamu Allah – ‘Tiada Yang Lebih Kami Harapkan Selain Doa’
‘Dapat hiburkan orang Temerloh’ – Tomok

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berkata, jemputan untuk membuat persembahan di festival berkenaan merupakan satu rezeki yang amat dihargai, lebih-lebih lagi apabila dapat bertemu peminat secara dekat.
Alhamdulillah, pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur sebab sudi jemput saya untuk sama-sama memeriahkan Fiesta Tun Teja ini. Mestilah saya rasa seronok dan teruja sebab dapat jumpa dan menghiburkan orang Temerloh.
Bukan sekadar menawarkan persembahan hiburan, festival anjuran Majlis Tindakan Sosial Pahang di bawah seliaan APRESIASI PAHANG 1st itu turut membawa misi untuk mengangkat budaya dan warisan negeri Pahang, selain merapatkan hubungan antara masyarakat daripada pelbagai lapisan.
Menurut Tomok, muzik mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai medium yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa dan latar belakang.
Muzik sendiri pun sebenarnya satu medium yang boleh menyatukan orang. Jadi saya rasa program macam Fiesta Tun Teja ini memang patut diteruskan sebab selain memberi hiburan, ia juga dapat menghidupkan suasana komuniti dan memberi peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Belajar fasal warisan

Dalam pada itu, pelantun lagu Rindu Terhenti ini turut menitipkan pesanan buat generasi muda agar tidak melupakan budaya sendiri meskipun dunia semakin moden dan dipengaruhi pelbagai trend antarabangsa.
Pada saya, generasi muda kena ambil peluang untuk kenal dan belajar tentang warisan serta budaya kita sendiri. Sebab kalau bukan kita yang nak hargai dan teruskan, siapa lagi?
Tomok juga mengajak golongan muda untuk mengambil kesempatan menghadiri festival berkenaan bagi mengenali keunikan warisan negeri Pahang dengan lebih dekat.
Jangan malu untuk kenal budaya sendiri. Datanglah ke festival macam ni, tengok, belajar dan hayati keunikan warisan yang kita ada.
Sebab warisan ni bukan sekadar cerita zaman dulu, tapi sesuatu yang kita kena jaga supaya generasi akan datang pun dapat mengenalinya.
Selain Tomok, Fiesta Tun Teja turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air termasuk Ella, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Siti Nordiana dan Ameng Spring.
Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang tiga hari festival berlangsung, antaranya pameran warisan, Tun Teja Run, sukaneka serta aktiviti seni solekan bersama jurusolek profesional (MUA) anak Pahang.
Lebih menarik, pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah turut menanti pengunjung, termasuk kereta, motosikal, basikal dan barangan elektrik.
Dengan mengetengahkan nilai kekuatan, semangat, kepimpinan dan kesetiaan, Fiesta Tun Teja diharap dapat menyemarakkan rasa bangga masyarakat terhadap warisan negeri Pahang, di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Jadi, buat orang Temerloh dan seluruh rakyat Pahang, jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan Fiesta Tun Teja pada 6 hingga 8 November ini di Dataran Temerloh sambil menikmati persembahan artis kegemaran dan mengenali warisan budaya negeri sendiri.
The post Tomok Teruja Jumpa Peminat Di Fiesta Tun Teja Pahang, Pesan Anak Muda Hargai Budaya Sendiri first appeared on OHBULAN!.





