ULASAN | Tulisan ini merujuk artikel Malaysiakini berjudul ‘Tokoh sastera terpalit dakwaan gangguan seksual’ oleh Puteri Nordahlilah Azmi (Jul 1, 2026) dan ulasan berjudul ‘Penulis pelbagai kaum kecam gangguan seksual oleh tokoh sastera’ oleh Uthaya Sankar SB (Jul 8, 2026) serta laporan berjudul ‘Penulis wanita bincang dengan DBP, gesa tindakan isu gangguan seksual’ oleh Aina Fatihah Abdullah (Jul 15, 2026).
"Sesebuah tamadun tidak runtuh kerana satu dakwaan. Ia mula retak apabila ‘budaya diam’ dijadikan dasar dan keberanian berkata benar dianggap ancaman."
"Apabila maruah mangsa dikorbankan demi menjaga nama institusi, ketika itulah sastera mula kehilangan roh, walaupun bahasa masih indah berbunga."
Dunia sastera Malaysia sedang berdepan saat yang mungkin menjadi antara titik perubahan paling penting dalam sejarah moden kesusasteraan negara. Dakwaan gangguan seksual yang kini berada dalam siasatan pihak berkuasa bukan sekadar menggemparkan komuniti penulis, malah membuka semula persoalan yang selama ini berlegar secara senyap. Adakah ekosistem sastera kita benar-benar selamat, atau selama ini kita hanya terlalu selesa melindungi reputasi sehingga mengabaikan reformasi?

Dalam isu seperti ini, hanya mahkamah berhak menentukan salah atau tidak seseorang. Tiada sesiapa wajar dihukum melalui "mahkamah media sosial". Dan tiada juga laporan pengadu patut dipandang sepi sebelum siasatan rapi pihak berkuasa selesai. Namun, tiada sesiapa wajar dipersalahkan sehingga bukti benar-benar kukuh dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.
Bagaimanapun, di luar persoalan individu, terdapat persoalan yang jauh lebih besar; mengapa sistem yang sepatutnya mencegah perkara seperti ini kelihatan terlalu lambat bertindak? Sebagai warga intelektual dan profesional, kita sewajarnya lebih telus dan tulus menangani permasalahan begini. Adakah kita sedang berdepan kegagalan sistem?
Bukan isu terpencil
Apa yang membimbangkan ialah pendedahan beberapa penulis wanita di media sosial memberi gambaran bahawa insiden seperti ini mungkin bukan kejadian terpencil.
Mereka berkongsi pengalaman menerima mesej berbaur seksual, kata-kata yang melangkaui batas profesional, malah dakwaan tentang ‘sexual grooming’ dan gangguan seksual daripada individu yang didakwa menggunakan pengaruh serta kedudukan dalam dunia sastera.
Jika dakwaan-dakwaan ini benar, ia menunjukkan masalah sebenar bukan hanya seorang individu, tetapi budaya yang membolehkan penyalahgunaan kuasa berlaku tanpa mekanisme semak dan imbang yang mencukupi.
Diam jadi budaya organisasi
Lebih mengejutkan, ketika komuniti penulis menunggu pendirian tegas daripada institusi dan persatuan, hanya segelintir tampil bersuara. Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) antara organisasi terawal mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk sebarang bentuk gangguan seksual serta menyatakan solidariti kepada mangsa.

Sebaliknya, beberapa persatuan lain seperti Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan juga Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang lazimnya pantas mengeluarkan kenyataan terhadap pelbagai isu kelihatan memilih untuk berdiam diri. Adakah isu seserius begini hanya dianggap masalah peribadi?
Diam bukanlah salah. Tetapi dalam isu yang menyentuh imej, kehormatan dan keselamatan komuniti, diam boleh ditafsirkan sebagai kegagalan moral.
Dalam hampir setiap institusi yang pernah dilanda skandal, sama ada universiti, organisasi keagamaan, dunia korporat atau industri hiburan, ada satu persamaan yang berulang:
● Ramai mengetahui.
● Sedikit berani bersuara.
● Lebih ramai memilih diam.
Berapa banyak kali kita mendengar saranan, "jangan viralkan, nanti rosak nama institusi.” Bagaimana pula sikap individu pelaku semacam ‘haruan makan anak?’ Adakah sindrom ‘kunci mulut’ suatu sikap terpuji atau bagaimana?
Ironisnya, dunia sastera dan para pendokongnya yang totok, kerap menganggap dunia politik misalnya teramat kotor; penuh dengan pembohongan dan kelicikan pemimpin yang tidak beramanah dan perasuah. Tetapi, tidak sedarkah mereka menuding satu jari, tiga jari lagi menuding kembali pada diri kendiri?
“Lebih baik diam, jangan jaga tepi kain orang.” Ungkapan ini kedengaran mulia, tetapi sejarah menunjukkan bahawa budaya menutup isu demi menjaga imej sering kali lebih merosakkan daripada isu itu sendiri.
Peribahasa Melayu mengingatkan, "api dalam sekam tidak akan padam hanya kerana disiram sebaldi air." Ia hanya menunggu masa untuk menyala dan membinasa, meski besi pun boleh cair.
Jika benar terdapat rungutan yang selama ini hanya beredar dari mulut ke mulut tanpa saluran rasmi yang diyakini, maka persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa budaya itu boleh bertahan begitu lama?
Dunia sastera tidak suci
Apabila seseorang tokoh sastera sekali gus sasterawan negeri menjadi penilai pertandingan, pembimbing bengkel, panel pengundi atau pintu masuk kepada peluang penerbitan, hubungan profesional perlu dipagari oleh etika yang jelas. Perlu ada batas sempadan antara lelaki dan perempuan; garis panduan moral dan sosial.
Ini bukan soal mencurigai semua orang. Ini soal membina sistem supaya orang baik terus dilindungi, dan ruang untuk salah guna kuasa semakin sempit.
Jangan romantikkan “tokoh”. Kita menghormati tokoh kerana ilmu dan sumbangan mereka. Tetapi penghormatan tidak pernah bermaksud kekebalan. Begitu juga, dakwaan tidak pernah sama dengan sabitan. Dua prinsip ini mesti berjalan serentak.
Masyarakat yang matang ialah masyarakat yang berani mendengar pengadu, menghormati hak individu yang didakwa untuk mempertahankan diri, dan menyerahkan penentuan fakta kepada proses undang-undang.
Apabila salah satu prinsip ini diketepikan, keadilan akan pincang. Pengadu merasakan dirinya teraniaya. Sementara itu, pelaku akan terus bermaharajalela. Sementelah ada pula sekufu yang melindungi dirinya.
Undang-undang dan budaya
Malaysia mempunyai Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), yang membuka ruang kepada Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) sebagai mekanisme mendapatkan remedi dalam kes tertentu.
Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi. Apa gunanya akta jika mangsa masih takut membuat laporan?
Apa gunanya polisi jika peserta tidak tahu kepada siapa hendak mengadu?
Apa gunanya slogan integriti jika saluran aduan tidak diyakini?
Budaya organisasi yang sihat tidak lahir daripada poster di dinding, ceramah di ruang legar, program dan aktiviti mengangkat reputasi organisasi. Ia lahir daripada tindakan seorang CEO, pengarah dan pemimpin yang penuh ketegasan dan tindaknya konsisten.
DBP perlu memimpin
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sekadar penerbit buku, menjalankan kursus, ceramah, program atau aktiviti sastera sahaja. DBP ialah institusi yang membentuk ekosistem bahasa dan sastera negara, termasuk memayungi kemaslahatan para penulis sekadar yang munasabah.
Tindakan DBP menyerahkan siasatan kepada pihak polis adalah langkah yang betul kerana penentuan fakta mesti dibuat mengikut lunas undang-undang. Namun sebagai institusi yang memimpin pembangunan bahasa dan sastera negara, perananan DBP tidak boleh berakhir dengan satu kenyataan media.

Krisis sebesar ini memerlukan kepimpinan. Kepimpinan institusi tidak berakhir di situ. Ia memerlukan kepimpinan jelas dan tegas:
● Ia menuntut dasar baharu.
● Ia menuntut reformasi.
● Ia menuntut keberanian.
Jika dunia korporat mempunyai dasar integriti, universiti mempunyai kod etika dan banyak organisasi antarabangsa mempunyai polisi "safe workplace", mengapa dunia sastera tidak mempunyai satu kerangka perlindungan kebangsaan yang jelas?
Sastera tidak kebal daripada penyalahgunaan kuasa. Entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita (dikenali sebagai UN Women) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah lama memberi amaran bahawa gangguan seksual lazimnya berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan kuasa; mentor dengan mentee, penyelia dengan pelatih, individu berpengaruh dengan mereka yang sedang membina kerjaya.

Enam ‘reset’ dunia sastera
Sudah tiba masanya DBP dengan kerjasama komuniti sastera seperti persatuan-persatuan penulis di peringkat negeri dan pusat melaksanakan pembaharuan yang menyeluruh:
-
1. Kod Etika Penulis Kebangsaan yang menetapkan standard profesional kepada semua penulis, mentor, editor, penganjur dan fasilitator.
-
2. Jawatankuasa Bebas Aduan Gangguan Seksual yang dianggotai pakar undang-undang, psikologi, hak asasi dan wakil komuniti sastera tanpa konflik kepentingan.
-
3. Dasar "Safe Literary Space" untuk semua program, festival, bengkel dan aktiviti kesusasteraan.
-
4. Latihan wajib berkaitan etika profesional, gangguan seksual dan penyalahgunaan kuasa kepada semua mentor, panel dan penganjur.
-
5. Sistem pelaporan yang sulit, mudah dicapai serta melindungi pemberi maklumat yang bertindak dengan niat baik.
-
6. Penilaian semula status mentor atau fasilitator yang sedang disiasat bagi program yang melibatkan peserta sehingga proses siasatan selesai, selaras dengan dasar organisasi dan undang-undang. Langkah ini bukan menghukum, tetapi mengurus risiko dan melindungi semua pihak.
Pena yang hebat dari ekosistem sihat
Sastera bukan sekadar pertandingan menulis; ber’lomba’ dan bersayembara mencari siapa juara dan mengukir nama lantas menjadi ternama. Ia usaha gigih bersama dalam pembinaan tamadun.
Penulis muda datang dengan cita-cita, bukan untuk berhadapan dengan ketakutan. Mereka datang membawa manuskrip dan harapan, bukan membawa pulang kebimbangan. Tidak juga dibebani rasa bersalah dan buruknya igauan.
Jika kita benar-benar mahu melahirkan generasi pelapis dan ‘Sasterawan Negara’ yang baharu, maka kita juga mesti membina ruang yang membuatkan mereka yakin bahawa maruah dan keselamatan mereka dihormati.
Nama terpuji dan integriti
"Nama besar boleh membina sejarah. Tetapi hanya integriti yang mampu mempertahankannya." Sementelah di syurga, syaitan berjaya memperdayakan Hawa. Inikan pula di dunia, syaitan pula bertopengkan manusia. Kita harus belajar menerima segala kemungkinan dengan fikiran terbuka dan berlapang dada.
Apa yang sedang berlaku hari ini tidak seharusnya menjadi episod memalukan yang cuba disapu ke bawah permaidani. Sebaliknya, ia mesti menjadi titik tolak reformasi nasional dalam dunia sastera. Perlu ada kesedaran, kekuatan dan iltizam mahu bertanggungjawab melakukan perubahan. Akui kelemahan kerana, tidak ‘sediakan payung sebelum hujan’. Tetapi, kini kesakitan sudah menampakkan kesan, mengapa tidak diberikan rawatan? Sudah semestinya rawatan terbaik yang menyembuhkan dan penyakit tidak berulang lagi.
Jangan jadikan isu ini sekadar sensasi beberapa minggu. Jadikan ia permulaan kepada perubahan budaya. Kerana institusi yang hebat bukanlah institusi yang tidak pernah diuji, tetapi institusi yang terjaga dari mimpi dan berani berubah apabila diuji.
Dan ingatlah, bahana tragis dan sadis apabila pena gagal mempertahankan maruah yang menjadi nilai peradaban manusia. Seluruh tamadun akan kehilangan makna. Rupa-rupanya, ada noda di sebalik indahnya metafora bahasa.
RAMLEE WAHAB seorang penggiat seni serta pemenang pelbagai anugerah sastera.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





