Ada masanya seseorang terlalu sibuk menjaga hati orang lain sehingga terlupa diri sendiri juga sedang penat dan memerlukan perhatian. Itulah pengakuan jujur pelakon Kamal Adli apabila ditanya mengenai kali terakhir dia meminta maaf kepada dirinya sendiri menerusi segmen POV XTRA.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Kamal Adli Bimbang Stigma Tekanan Hidup Perlu Nampak Mewah, Akui Boleh Rosakkan Mental & Rumah Tangga – ‘Perkara Itu Toksik’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Hawra Dalam Fasa Bercakap, Dia Sekarang Sudah Boleh Panggil Saya Ayah’ – Kamal Adli
Gagal ikut perancangan hidup
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain di fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk kita melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza.
Bagi edisi POV XTRA kali ini, Kamal berkongsi dia baru sahaja belajar memaafkan dirinya sendiri beberapa minggu lalu selepas menyedari tidak semua perkara dalam kehidupan berjalan seperti yang dirancang.
Menurut Kamal, perasaan kecewa itu hadir apabila dia merasakan dirinya gagal mencapai kehidupan dan kebahagiaan yang pernah dibayangkan.
Kali terakhir saya maafkan diri sendiri mungkin beberapa minggu lepas. Saya minta maaf kepada diri sendiri sebab sebagai seorang manusia, saya gagal untuk mengikuti apa yang dirancang dalam hidup.
Tetapi saya faham perkara ini sudah tertulis dan tersurat. Saya perlu belajar untuk terima.
Terlalu Banyak Menjaga Hati Orang Lain
Dalam perkongsian sama, Kamal mengakui dia sering meletakkan keperluan dan perasaan orang lain lebih tinggi berbanding dirinya sendiri.
Kesibukan menjaga hati orang sekeliling membuatkan dia terlupa untuk memberikan perhatian kepada keadaan fizikal dan mentalnya.
Saya minta maaf kepada diri saya sebab membawa kehidupan saya sampai ke tahap ini. Mungkin badan saya sendiri sudah cakap penat.
Saya ada sebab kenapa saya melakukan sesuatu perkara. Saya minta maaf sebab saya banyak tidak fikir mengenai diri sendiri. Saya hanya fikir tentang orang lain dan menjaga hati mereka.
Kesedaran tersebut akhirnya membuatkan Kamal memahami menjaga kesihatan mental sendiri bukanlah satu tindakan mementingkan diri, sebaliknya perkara yang perlu diberikan keutamaan.
Saya terlupa perkara yang paling saya perlu fikirkan adalah mental sendiri. Jadi, saya minta maaf.
Tidak Mahu Gagal Sebagai Seorang Bapa
Ketika menjelaskan maksud kegagalan yang dirasakan, Kamal berkata ia merangkumi pelbagai perancangan hidup yang tidak menjadi seperti diharapkan, termasuk impiannya untuk mengecap kebahagiaan.
Sebagai seorang lelaki dan ketua keluarga, Kamal mengakui dia meletakkan tanggungjawab yang besar terhadap dirinya sehingga menganggap dirinya telah gagal.
Maksud gagal menjadi seorang manusia itu merangkumi semua yang saya rancang. Mungkin saya mahu menjadi bahagia.
Sebagai seorang manusia, lelaki dan ketua, saya meletakkan diri saya sebagai gagal.
Namun di sebalik rasa kecewa tersebut, Kamal menegaskan dia akan terus berusaha agar tidak gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak perempuannya, Hawra Uqaira.
Tetapi saya sangat mencuba untuk tidak menjadi seorang yang gagal kepada anak saya, Hawra.
View this post on Instagram
Luahan Kamal memperlihatkan sisi seorang manusia yang sedang belajar menerima tidak semua perkara boleh dikawal.
Kadangkala, memaafkan diri sendiri bukan bermakna mengalah, tetapi mengakui diri juga mempunyai batas dan berhak diberikan ruang untuk berehat serta sembuh.
Di sebalik senyumannya di khalayak, tersimpan perasaan duka dalam hati apabila rumah tangga Kamal yang dibina bersama pelakon Uqasha Senrose berakhir dengan perceraian talak satu pada 12 Januari 2026.
Kamal pernah mengakui gagal mengawal emosi dan menangis ketika diminta melafazkan cerai kerana menganggapnya antara detik paling sukar dalam kehidupannya.
Selepas perceraian, Kamal turut melalui tempoh lebih dua minggu tanpa berjumpa Hawra sebelum kembali diberikan peluang meluangkan masa bersama anaknya.
Walaupun tidak lagi hidup sebagai suami isteri, Kamal dan Uqasha dilaporkan berusaha mencapai persefahaman berhubung urusan pertemuan dengan Hawra demi kebaikan anak mereka.
Mungkin atas sebab itulah, di sebalik pengakuannya sebagai seorang lelaki yang pernah berasa gagal, Kamal masih mempunyai satu tekad yang mahu dipertahankan untuk terus hadir dan tidak gagal sebagai seorang ayah kepada Hawra.
View this post on Instagram
The post POV XTRA: Kamal Adli Belajar Minta Maaf Kepada Diri Sendiri, Akui Mental & Tubuh Dah Penat – ‘Saya Seorang Yang Gagal Sebagai Manusia, Ketua…’ first appeared on OHBULAN!.





