
Pelakon Amerul Affendi meluahkan rasa puas hati selepas suaranya didengari mengenai pengurusan panggung filem lakonannya, 6 Jilake yang gagal mematuhi arahan tayangan dua minggu menerusi Skim Wajib Tayang.
Tegur pengurusan panggung

Ketika ditemui , Amerul atau nama lengkapnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, berkata tindakannya bersuara secara terbuka membuatkan lebih ramai datang menonton 6 Jilake di wayang.
Bagaimanapun, Amerul tidak menunding jari pada mana-mana pihak kerana memahami proses berniaga.
Sepatutnya filem di bawah Skim Wajib Tayang perlu ditayangkan selama dua minggu.
Tapi ada panggung yang suka hati tarik tayangan pada minggu pertama.
Apa yang membuatkan saya bersuara di media sosial sebelum ini kerana pada 1 Mei, ramai yang cuti mahu keluar menonton wayang. Tapi slot tayangan tiada, membuatkan sukar nak hit minggu kedua.
Bagaimanapun, saya tak boleh salahkan mereka sebab ini adalah perniagaan, kita faham.
Saya ucapkan terima kasih kepada pawagam kerana memahami penonton kita. Suara kita didengari, berkat sokongan daripada penonton juga.
Amerul berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama Tonton Original: Bru di Bangsar, pada Selasa.
Menyokong filem tempatan

Dalam pada itu, pelakon filem aksi 6 Jilake itu memaklumkan bahawa pentingnya untuk membuat gerakan mengajak lebih ramai masyarakat menyokong filem-filem tempatan.
Sebenarnya gerakan itu harus datang daripada pelakon filem itu sendiri.
Kita letih buat filem, kemudian biar orang lain mengotak-ngatikkan filem kita? Kemudian kita biarkan pula satu pihak sahaja buat promosi.
Sebagai pelakon, kita kena bantu juga penerbit sebab mereka keluarkan duit untuk buat filem, takkan kita mahu mereka sahaja menanggung kerugian? Perlu ada belas kasihan.





