
Pelakon Putra Amaris bersyukur apabila menerima dua kereta jenis Multi-Purpose Vehicle (MPV) untuk diinfaqkan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat.
Kereta kegunaan harian

Menurut Amaris, 40, dia tidak menyangka akan menerima dua buah kereta daripada seorang pemuda yang cukup dikenali.
Katanya, selama ini kenderaan milik arwah ayahnya menjadi pengangkutan utama kepada anak-anak tahfiz untuk kegunaan harian.
Alhamdulillah rezeki tahun ini cukup baik. Anak-anak tahfiz ini selalu tanya saya, bila mereka boleh dapat van untuk kegunaan harian seperti ke masjid.
Selalunya anak-anak ini akan menggunakan kereta arwah ayah saya untuk bergerak ke mana-mana.
Tak sangka doa kami dimakbulkan apabila kami menerima hadiah dua buah kereta jenis MPV daripada seorang anak muda lingkungan 30-an.
Saya memang mengenali rapat pemberi ini. Orangnya memang baik. Sebelum ini kami ada mohon bantuan kepadanya.
Kita doakan semoga hamba Allah yang menginfaqkan dua buah kereta itu diberikan rezeki yang luas.
Tambah pemilik nama Amran Ismail, dia gembira melihat kereta-kereta itu sudah digunakan sejak beberapa bulan lalu.
Alhamdulillah mereka sudah menggunakan kereta itu beberapa bulan yang lalu. Saya gembira melihat mereka tersenyum dan gembira.
Amaris berkata demikian ketika ditemui pada majlis Program Kongsi Rezeki Infaq Ramadan 2025 #SamaSamaKenyang, baru-baru ini.
Perlu bantuan barang harian

Bercerita tentang itu, Amaris berkata, misi tahun ini untuk membantu 1,000 orang asnaf, termasuk anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, penghuni rumah orang-orang tua, dan gelandangan.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha murni kami untuk menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat ini.
Program Kongsi Rezeki 2025 Infaq Ramadan dengan kerjasama dari syarikat BioFitrah Sdn Bhd dan jenama SoftRein bertujuan untuk mewar-warkan keperluan sumbangan berbentuk barang keperluan harian, wang tunai, barang keperluan asas, makanan sedia dimakan, barang peralatan sekolah, lampin pakai buang dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak tahfiz, anak-anak yatim, anak-anak pejuang kanser, orang-orang tua, asnaf serta golongan gelandangan.
Selain itu, sasaran kami untuk mendapatkan dana bagi membina sebuah bangunan untuk Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat.





