30.1 C
Kuala Lumpur
Friday, July 10, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Pertikaian adat: K’jaan sementara NS perlu hormati had kuasa

    Shopee Sale

    Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan tarikh pilihan raya telah ditetapkan, landskap politik sesebuah negeri secara drastik akan berubah.

    Kuasa mutlak eksekutif yang dipegang selama lima tahun dilepaskan kembali kepada rakyat. Di bawah sistem Demokrasi Berparlimen dan acuan Westminster yang diamalkan di Malaysia, tempoh di antara pembubaran DUN sehinggalah tertubuhnya kerajaan baru ditadbir oleh sebuah entiti yang dipanggil Kerajaan Sementara atau Caretaker Government.

    Namun, apa yang sedang berlaku dalam dinamika politik Negeri Sembilan mutakhir ini mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan pemerhati undang-undang dan penganalisis politik.

    Pelantikan posisi-posisi baru raja-raja Negeri Sembilan antaranya Pembesar-Pembesar Memerintah yang baru di Sungai Ujong dan Rembau, isu-isu berkaitan adat yang berlaku semasa tempoh Kerajaan Sementara, arahan pengosongan oleh Kerajaan Negeri kepada Balai Undang Luak Rembau antaranya telah menimbulkan persoalan tentang adakah tindakan ini dibenarkan dalam undang-undang selain daripada selaras dengan tuntutan adat?

    Siri-siri tindakan, pengumuman, dan arahan yang dibuat oleh pentadbiran sedia ada dilihat telah melangkaui sempadan kuasa, atau dalam istilah perundangan disebut sebagai ultra vires. Di dalam undang-undang pentadbiran, ultra vires boleh berlaku dalam keadaan secara substantif dan prosedural yang boleh membawa kepada semakan kehakiman kepada pihak-pihak yang melanggar status quo.

    Persoalannya, adakah panduan kerajaan sementara ini sekadar hiasan di atas kertas, atau ia satu ketetapan perlembagaan yang wajib dipatuhi demi keadilan dalam proses demokrasi?

    Memahami batas 'pemegang amanah'

    Bagi memahami mengapa tindakan Kerajaan Negeri Sembilan ini dipertikaikan, kita perlu kembali kepada asas penubuhan kerajaan sementara. Sebaik sahaja DUN dibubarkan, mandat politik bagi sesebuah parti atau gabungan telah pun tamat.

    Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang kekal dalam pejabat mereka tidak lagi berfungsi sebagai pemerintah penuh, sebaliknya hanyalah sebagai pemegang amanah (trustees) urusan harian. Tugas utama mereka adalah memastikan jentera pentadbiran negeri—seperti urusan keselamatan, kutipan sampah, operasi hospital, dan perkhidmatan kaunter pihak berkuasa tempatan (PBT)—tidak lumpuh.

    Berdasarkan konvensyen perlembagaan, sebuah kerajaan sementara terikat dengan tiga sekatan utama: tidak boleh membuat keputusan dasar yang besar (major policy decisions), tidak boleh meluluskan peruntukan kewangan berskala besar yang mengikat kerajaan masa hadapan, dan tidak boleh membuat pelantikan jawatan strategik dalam perkhidmatan awam atau syarikat milik negeri (GLC).

    Organisasi masyarakat sivil seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), antara institusi yang dicanangkan sebagai membela demokrasi dan kedaulatan undang-undang telah menerbitkan satu kajian polisi dengan kerjasama Kerajaan Australia berkaitan Kerajaan Sementara dengan mencadangkan perubahan undang-undang, amalan pentadbiran dan kod etika bagi menjelaskan perananan dan mengawal kedudukan kerajaan sementara.

    Sudah sampai masa Kerajaan Persekutuan dan Negeri melihat usaha-usaha dan tindakan konkrit bagi melihat semula undang-undang, amalan dan tatakelola berkaitan Kerajaan Sementara ini agar tidak pihak sewenang-wenangnya melanggar kedudukan dan melaksanakan tindakan yang menimbulkan polemik undang-undang dan adat yang berlaku di Negeri Sembilan selaras dengan reformasi institusi yang dicanang-canang selama ini.

    Isu Ultra Vires di Negeri Sembilan

    Malangnya, apa yang disaksikan di Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini memberikan gambaran yang berbeza. Terdapat kecenderungan di mana pentadbiran sementara masih bertindak seolah-olah mereka memegang mandat penuh rakyat walaupun Dewan Undangan Negeri telah dibubarkan.

    Pertama, perbuatan membuat lantikan baru mengenai Raja-Raja, terutamanya Tengku Panglima Besar, Dato Undang Luak Sungai Ujong dan Dato Undang Luak Rembau, telah menimbulkan persoalan dari sudut perundangan dan juga adat mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

    Tindakan ini secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya perubahan kedudukan Putera Yang Empat dan Undang yang terlibat sedangkan kedudukan Kerajaan Negeri dalam keadaan sementara dan akan menimbulkan masalah dan sensitiviti mengenai kedudukan raja-raja yang unik dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 di kemudian hari.

    MENARIK:  Saya tidur atas lantai simen lokap SPRM, kata saksi kes rasuah Guan Eng

    Kedua, isu penyalahgunaan jentera dan aset negeri secara halus demi kepentingan politik kepartian. Pemberian peruntukan kewangan kepada wakil rakyat Kerajaan sehari sebelum pembubaran sehingga ke bulan September telah menimbulkan isu dari segi tatakelola kewangan keperluan berbelanja semasa dalam status kerajaan sementara.

    Apabila program rasmi kerajaan - yang dibiayai menggunakan wang pembayar cukai- diadunkan dengan elemen propaganda kempen, prinsip padang sama rata (level playing field) atau medan persaingan yang rata antara parti-parti bertanding telah dicabuli. Kenderaan rasmi, dewan orang ramai dan logistik jabatan kerajaan tidak sepatutnya digunakan untuk memberi kelebihan tidak adil kepada penyandang jawatan (incumbent).

    Ketiga, terdapat juga laporan mengenai tindakan pentadbiran secara pantas meminta mengosongkan Balai Undang Luak Rembau oleh kerajaan negeri terutamanya selepas upacara pelantikan Undang yang baru berlangsung.

    Tindakan mengukuhkan kedudukan birokrasi dan memperlecehkan adat ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan dan tidak munasabah, malah membelakangkan prinsip tadbir urus yang telus dan akauntabiliti awam.

    Implikasi terhadap sistem perundangan negeri

    Kecenderungan untuk melanggar konvensyen perlembagaan ini bukan sekadar isu "politik pilihan raya", tetapi ia membawa impak sistemik yang berbahaya kepada kedaulatan undang-undang (rule of law) dan keluhuran Perlembagaan (supremacy of Constitution).

    Sebarang keputusan dasar atau pelantikan yang dibuat secara ultra vires oleh kerajaan sementara terdedah kepada risiko dicabar di mahkamah melalui proses semakan kehakiman (judicial review). Sekiranya mahkamah mengisytiharkan tindakan tersebut sebagai tidak sah dan batal (void and of no effect), impak negatifnya akan menjejaskan semua pihak—termasuk pelabur, penjawat awam yang terlibat serta rakyat kebanyakan yang melihat keadaan ini berlaku dengan pantas dan secara tiba-tiba.

    Selain itu, tindakan mengheret jentera kerajaan ke dalam kancah politik kepartian akan menghakis neutraliti perkhidmatan awam. Penjawat awam diletakkan dalam posisi serba salah untuk mematuhi arahan eksekutif sementara yang sebenarnya sudah hilang mandat sah.

    Kesimpulan: Matang dalam berdemokrasi

    Pilihan Raya Negeri sepatutnya menjadi medan meraikan demokrasi, di mana parti-parti bertanding menawarkan manifesto berdasarkan idea dan visi, bukannya menggunakan kelebihan kedudukan untuk memancing undi. Pemimpin politik di Negeri Sembilan harus menunjukkan kematangan moral yang tinggi dengan menghormati roh perlembagaan dan kedudukan kerajaan sementara.

    Badan pengawal selia seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan institusi masyarakat sivil perlu bertindak lebih agresif dalam memantau salah laku kerajaan sementara. Kita tidak boleh membiarkan fasa peralihan kuasa ini menjadi "zon bebas undang-undang" di mana prinsip akauntabiliti dan keadilan dilesapkan begitu sahaja.

    Rakyat Negeri Sembilan berhak menerima proses pilihan raya yang adil dan saksama selain mengetahui tindakan-tindakan yang dilakukan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan pematuhan terhadap adat yang diamalkan. Menghormati sempadan kuasa kerajaan sementara bukan satu pilihan, ia adalah kefarduan dalam sebuah negara yang mendewakan kedaulatan undang-undang dan Adat Perpatih yang menjadi tiang seri kepada kewujudan Negeri Sembilan.


    Ikmal Hisham Md Tah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA & Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari merupakan kurator di Galeri Diraja Tuanku Jaafar Negeri Sembilan dan merupakan penulis buku ’The Legacy of Yamtuan Antah: Unity and Leadership.’


    IKMAL HISHAM BIN MD TAH ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara & MOHD KHAIRIL HISHAM MOHD ASHAARI merupakan kurator di Galeri Diraja Tuanku Jaafar Negeri Sembilan serta merupakan penulis buku ’The Legacy of Yamtuan Antah: Unity and Leadership.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah