Rentetan isu persembahan yang dihentikan secara tiba-tiba pada Konsert Pentas RadjaWali yang berlangsung 10 Januari lalu, pihak pengurusan lokasi, Idea Live Arena tampil memberikan respon.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Penganjur Konsert RadjaWali Bakal Heret Pihak Pengurusan Lokasi Ke Muka Pengadilan – ‘Mematikan Sistem Bunyi Pada Jam 12 Bertentangan Dengan Kebenaran Operasi’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kecoh! Konsert Pentas RadjaWali Terpaksa Dihentikan, Peminat Kecewa Tak Dapat Dengar Lagu Hits Wali Band
Menafikan dakwaan

Menerusi sebuah kenyataan di Instagram, pihak Idea Live Arena menafikan dakwaan yang telah dikemukakan oleh pihak penganjur konsert berkenaan dalam satu sidang media tempoh hari.
Dalam masa sama, pihak Idea Live Arena menegaskan bahawa dakwaan berkenaan telah menjejaskan imej mereka sebagai pengelola lokasi konsert itu.
Sila ambil maklum bahawa kami dengan tegas menafikan dan menolak kesemua dakwaan tersebut, yang adalah tidak benar, mengelirukan, berniat jahat serta tidak mempunyai sebarang asas fakta atau undang-undang.
Kenyataan-kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan jelas bertujuan untuk mengelirukan orang awam serta mencemarkan reputasi kami.
Justeru, pihak Idea Live Arena memaklumkan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa undang-undang bagi mempertahankan diri daripada dakwaan yang tidak benar, selain akan membuat pengumuman berkenaan hal tersebut.
Kami kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala tindakan undang undang yang perlu, termasuk tetapi tidak terhad kepada prosiding bagi fitnah serta remedi lain yang sewajarnya, terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab dalam membuat, menerbitkan atau mengulangi kenyataan palsu tersebut.
Kami dengan nyata dan jelas mengekalkan semua hak kami, sama ada di sisi undang-undang atau ekuiti, dan tiada apa-apa dalam kenyataan ini boleh ditafsirkan sebagai suatu pelepasan, pengabaian atau penepian terhadap mana-mana hak tersebut.
Kami akan membuat pengumuman lanjut sekiranya perlu dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sebagaimana dinasihatkan.
Untuk info, menerusi sidang media baru-baru ini, pihak penganjur iaitu Impian Al Fateh Sdn. Bhd, GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) mengumumkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan lokasi konsert.
Sebelum itu, menerusi satu kenyataan, pihak penganjur menjelaskan pihaknya sudah berusaha untuk berunding dengan pihak pemilik premis, Idea Live Arena dan wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi memberi peluang kepada Wali Band menamatkan persembahan dengan sempurna. Malah sedia menanggung segala risiko dan sanggup kehilangan deposit RM20,000 atau didenda.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Idea Live Arena didakwa enggan bertolak ansur.
Terdahulu, harapan peminat untuk menyaksikan keseluruhan persembahan Wali Band terbantut apabila pihak penganjur memaklumkan bahawa Konsert Pentas RadjaWali terpaksa dihentikan serta merta.
Sumber: IG Idea Live Arena
The post Pihak Pengurusan Lokasi Konsert Pentas RadjaWali Nafi Dakwaan Penganjur – ‘Tidak Benar, Mengelirukan & Berniat Jahat’ first appeared on OHBULAN!.





