![]()
Korang sedar tak sains memainkan peranan penting dalam kehidupan?
Penemuan sains telah banyak mengubah cara kita melihat aspek kesihatan, pemakanan, dan penggunaan sesuatu produk.
Kali ini, min nak kongsi bagaimana penemuan sains telah membawa perubahan dalam cara kita menangani isu gula, bedak bayi, tembakau, dan juga sinaran matahari – perkara-perkara yang dahulunya dianggap berbahaya, kini ditangani dengan pendekatan yang lebih selamat dengan kemajuan sains.
Bahaya Gula: Sains timbulkan kesedaran!
Kredit: Mali Maeder, Pexels
Gula, yang asalnya diekstrak daripada tebu, telah menjadi sebahagian penting dalam diet manusia selama berabad-abad. Penemuan proses mengekstrak gula dari tebu dipercayai bermula sekitar 8,000 tahun yang lalu di Asia Selatan dan Tenggara, sebelum teknologi ini tersebar ke Timur Tengah dan Eropah. Sejak itu, gula menjadi komoditi yang sangat bernilai, bukan sahaja untuk kegunaan pemanis tetapi juga sebagai simbol kemewahan.
Namun, kemanisan yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai anugerah alam ini kini menjadi kebimbangan utama kesihatan. Sejak Revolusi Industri, gula mula dihasilkan secara besar-besaran dan menjadi bahan utama dalam makanan dan minuman. Pada tahun 1920-an, individu secara purata mengambil sekitar 40.8kg gula setahun, angka yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes, obesiti, serta penyakit jantung¹.
Pengambilan gula tambahan seperti sirap jagung fruktosa, yang sering digunakan dalam makanan dan minuman diproses, menyebabkan badan mengalami rintangan insulin – salah satu penyebab utama diabetes jenis 2. Selain itu, gula juga mendorong pengumpulan lemak dalam badan, yang menjadi pemangkin kepada pelbagai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan masalah hati berlemak.
Penemuan sains telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan kesan buruk ini. Kajian telah menunjukkan bahawa pengurangan pengambilan gula dapat membantu menurunkan risiko penyakit metabolik. Atas kesedaran ini, banyak inisiatif telah diperkenalkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada gula. Antaranya termasuk penciptaan pemanis alternatif seperti aspartame, stevia, dan sakarin, yang kini digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai pengganti gula dalam makanan dan minuman.
Namun, cabaran tetap ada. Walaupun pemanis alternatif memberikan pilihan yang lebih sihat, ia juga perlu digunakan dengan berhati-hati kerana beberapa kajian menunjukkan bahawa penggunaannya secara berlebihan mungkin mempunyai kesan sampingan tertentu.
Oleh itu, kunci utama adalah kesederhanaan dalam pengambilan makanan dan minuman, disertai dengan pilihan yang lebih sihat.
Tembakau: Asap rokok memudaratkan kesihatan
Kredit: Kilian Seiler, Unsplash
Berabad lamanya, merokok menjadi punca utama pelbagai penyakit serius yang memberi kesan buruk kepada kesihatan global. Antara penyakit lazim yang dikaitkan dengan merokok termasuk kerosakan paru-paru, penyakit jantung, dan masalah kesuburan.
Tabiat merokok bukan sahaja memberi kesan kepada perokok, tetapi juga kepada orang sekeliling melalui asap rokok terpakai atau second-hand smoke. Kajian menunjukkan bahawa asap rokok terpakai lebih berbahaya kerana mengandungi kepekatan bahan kimia toksik yang lebih tinggi, termasuk karsinogen, karbon monoksida, dan bahan toksik lain.
Apabila rokok dibakar, proses pembakaran (combustion) melepaskan lebih daripada 6,000 bahan kimia, termasuk lebih 100 bahan karsinogen yang diketahui boleh menyebabkan kanser.² Proses ini menghasilkan campuran toksik yang merosakkan paru-paru, sistem kardiovaskular, dan organ penting lain. Penyakit seperti kanser paru-paru, emfisema, dan penyakit arteri koronari sering dikaitkan dengan pendedahan berterusan kepada bahan kimia ini, menjadikan rokok salah satu penyebab utama kematian pramatang di seluruh dunia.
Namun, kemajuan sains telah membuka jalan kepada inovasi baharu dalam usaha mengurangkan risiko berkaitan penggunaan tembakau. Teknologi moden telah menghasilkan pelbagai produk alternatif bebas asap untuk mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya.
Antaranya termasuk vape atau e-rokok, peranti tembakau yang dipanaskan, tampalan nikotin, dan produk lain. Cristina Apetrei, Ketua Pengurusan Inovasi Global di Philip Morris International, menjelaskan bahawa tembakau biasanya dibakar pada suhu 800 darjah Celsius, tetapi peranti pemanas tembakau menurunkan suhu kepada kurang daripada 350 darjah Celsius, yang secara signifikan mengubah komposisi kimia tembakau.
Walaupun begitu, produk alternatif ini bukanlah bebas risiko. Kajian menunjukkan bahawa wap dari produk seperti vape dan peranti tembakau yang dipanaskan masih mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan dan berbahaya.
Bedak bayi: Sains kesan kemudaratan
Kredit: Izabelly Marques, Unsplash
Pada suatu masa dahulu, bedak bayi dianggap sebagai produk yang selamat digunakan untuk mengelakkan ruam dan mengekalkan kulit kering. Namun, penemuan sains menunjukkan risiko tersembunyi yang berkaitan dengan penggunaan bedak bayi, terutamanya yang mengandungi talc.
Talc merupakan mineral utama dalam bedak bayi, didapati boleh tercemar dengan asbestos, bahan yang diiktiraf sebagai karsinogen kepada manusia. Asbestos dikaitkan dengan penyakit serius seperti mesothelioma, sejenis kanser yang menyerang tisu yang melapisi organ dalaman. Malah, penyedutan talc yang tercemar dengan asbestos boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.
Selain itu, penyedutan bedak bayi yang berasaskan talc – walaupun bebas asbestos – turut dikaitkan dengan masalah pernafasan seperti batuk, sesak nafas, dan kerosakan paru-paru. Dr. Stanley Spinner, ketua pegawai perubatan di Texas Children’s Pediatrics dan Texas Children’s Urgent Care, mengatakan bahawa bayi berisiko tinggi terjejas, tetapi masalah pernafasan juga kadang-kadang dilaporkan di kalangan orang dewasa. Mereka yang bekerja dalam persekitaran yang terdedah kepada talc secara berterusan mungkin berisiko mengalami kerosakan paru-paru yang serius atau kanser, menurut penyelidikan.
Sebagai alternatif, industri kini mula beralih kepada bedak berasaskan tepung jagung, yang lebih selamat untuk digunakan. Namun, penyedutan bedak tepung jagung juga boleh menyebabkan iritasi paru-paru jika digunakan secara berlebihan. Oleh itu, pengguna digalakkan untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan produk ini.
Penemuan ini membuktikan bagaimana sains terus memainkan peranan penting dalam melindungi pengguna daripada risiko tersembunyi dan mencetuskan inovasi untuk produk yang lebih selamat.
Sinaran Matahari: Bahaya UVA dan UVB ditangani dengan sunblock
Kredit: kaboompics, Pexels
Sinaran matahari, terutamanya sinar Long Wave Ultravoilet A (UVA) dan Short Wave Ultravoilet B (UVB), telah lama diketahui menjadi punca utama kerosakan kulit, penuaan pramatang, dan risiko kanser kulit. Namun, sains telah membantu kita memahami bahaya ini dan mencipta penyelesaian penting – sunblock.
Sunblock atau pelindung matahari direka untuk melindungi kulit daripada sinaran berbahaya ini dengan memantulkan atau menyerap sinar UV sebelum ia merosakkan kulit. Contohnya, bahan-bahan seperti zinc oxide dan titanium dioxide sering digunakan dalam sunblock kerana keberkesanannya dalam memberikan perlindungan daripada sinaran UV.
Dengan adanya sunblock, kita kini dapat melindungi kulit sambil menikmati aktiviti di bawah cahaya matahari tanpa mengabaikan kesihatan. Ini membuktikan bagaimana sains terus memainkan peranan dalam melindungi kesihatan kita daripada ancaman yang tidak dapat dielakkan.
Contoh Lain: Bagaimana Sains Mengubah Hidup Kita
Selain gula, bedak bayi, tembakau, dan sinaran matahari, banyak lagi contoh bagaimana sains telah membawa perubahan besar.
Penemuan vaksin: telah membantu membasmi penyakit seperti polio dan cacar, menyelamatkan berjuta-juta nyawa.
Makanan Proses Rendah Lemak: Sains telah mencipta produk makanan rendah lemak dan bebas trans-lemak untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.
Penapis Air: Teknologi penapisan air memastikan air minuman lebih bersih dan selamat.
Penggunaan Plastik Biodegradasi: Alternatif kepada plastik konvensional membantu mengurangkan pencemaran.
Kenderaan Elektrik: Sains mencipta teknologi kenderaan mesra alam untuk mengurangkan pencemaran udara.
Sains cetus pengetahuan baharu!
Terima kasih kepada sains, kita kini memiliki pemahaman yang lebih jelas tentang risiko tersembunyi dalam produk harian. Pengetahuan ini bukan sahaja mengubah cara hidup kita tetapi juga mendorong kita membuat keputusan yang lebih bijak untuk kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Semoga sains terus berkembang, dan lebih banyak penemuan bermanfaat dapat dilakukan demi melindungi generasi akan datang.
Rujukan:





