Lebih 1,000 pengunjung membanjiri Perkampungan Bang Mat, MAEPS Serdang bagi menyaksikan persembahan hebat Hazama, Hael Husaini, Nominos dan Sixth Sense Rhythm of the Farmers (ROTF): Night of Vocal Supreme.
ARTIKEL BERKAITAN: Semua Mahu Kembali Ke Era 2000-an: Mengapa Konsert Nostalgia Semakin Mendapat Sambutan?
Berlangsung Meriah
Berlangsung meriah sempena MAHA 2026 pada 29 Ogos lalu, acara bermula sekitar pukul 8.30 malam, pentas ROTF menyaksikan gabungan empat nama popular tanah air yang masing-masing hadir dengan kekuatan vokal serta deretan lagu popular.
Malam tersebut bukan sekadar menjadi ruang persembahan muzik, malah bertukar menjadi sesi nyanyian beramai-ramai apabila pengunjung turut mengikuti lagu-lagu yang dipersembahkan sepanjang acara.

Kumpulan Nominos membuka pentas dengan tiga buah lagu sebelum suasana semakin hangat dengan kemunculan Hazama.
Hazama tampil penuh tenaga menerusi Malaikat, Relakan Jiwa dan Penglipur Lara, sekali gus mengundang sorakan serta nyanyian bersama daripada pengunjung.

Kemeriahan diteruskan oleh Hael Husaini yang membawakan tiga lagu popularnya, Jampi, Hajat dan Kelentang-Kelentong.
Tidak ketinggalan, Sixth Sense menghidupkan sisi nostalgia malam berkenaan menerusi Yang Sempurnakan Ku, Tanpa serta Khatimah Cinta, yang masih mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Pengisian Curi Perhatian
Gabungan empat nama dengan karakter muzik berbeza itu menjadikan Night of Vocal Supreme antara pengisian ROTF yang mencuri perhatian sepanjang penganjuran MAHA 2026.
Menurut penganjur, MARDI Corporation, ROTF diwujudkan sebagai antara pengisian hiburan utama bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung MAHA menerusi gabungan muzik, kebudayaan dan aktiviti interaktif.

“Pelbagai pengisian hiburan disusun secara berterusan bagi meningkatkan keterlibatan pengunjung selain mewujudkan suasana lebih meriah sepanjang penganjuran MAHA,” katanya.
Tidak terhad kepada persembahan artis, ROTF turut mengetengahkan persembahan buskers, aktiviti kebudayaan serta pelbagai pengisian santai untuk dinikmati pengunjung selepas seharian meneroka kawasan pameran.
MARDI Corporation turut memberi penekanan terhadap aspek produksi, penjenamaan serta pengalaman pengunjung dalam usaha membentuk identiti ROTF sebagai platform hiburan yang lebih dinamik dan inklusif.

“Penekanan turut diberikan terhadap aspek produksi, penjenamaan serta pengalaman pengunjung bagi memperkukuh identiti ROTF sebagai platform hiburan yang dinamik dan inklusif,” katanya.
ROTF berlangsung setiap malam sepanjang MAHA 2026 sehingga 6 September dengan menampilkan barisan artis tempatan menerusi tema persembahan berbeza.
Bagi pengunjung yang masih belum berkesempatan merasai kemeriahan ROTF, pentas berkenaan akan melabuhkan tirai pada 6 September menerusi persembahan khas bertemakan Soul Journey yang dijadualkan bermula pukul 5.30 petang.
The post Malam Penuh Vokal! Hazama, Hael Husaini, Sixth Sense & Nominos Gegarkan ROTF first appeared on OHBULAN!.





