Jenama penjagaan diri dari Indonesia, Kahf tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan satu hantaran berbaur sindiran yang dimuat naik di media sosial sehingga mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.
Artikel Berkaitan: Lelaki Dedah Kenapa Indonesia Kalah Kepada Malaysia Soal Durian – ‘Tanam 6 Tahun Hasilnya Jelek’
Mohon maaf

Menerusi satu kenyataan dimuat naik di Threads, Kahf mengakui hantaran berkenaan tidak sepatutnya diterbitkan dan langsung tidak mencerminkan nilai serta prinsip yang dipegang oleh pihaknya sebagai sebuah jenama.
Kahf turut memaklumkan hantaran tersebut telah dipadam serta berjanji untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Satu hantaran yang diterbitkan di akaun kami adalah tidak boleh diterima. Hantaran tersebut tidak mencerminkan nilai serta rasa hormat yang kami junjung sebagai sebuah jenama.
Kami telah memadam hantaran berkenaan dan berjanji untuk melakukan yang lebih baik.
Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala kekecewaan yang telah ditimbulkan. Terima kasih kerana menegur dan meminta kami bertanggungjawab atas kesilapan tersebut.
Menurut Kahf, hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia yang terjalin atas dasar persaudaraan serta sikap saling menghormati haruslah dipelihara.
Hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia sentiasa berteraskan semangat persaudaraan dan saling menghormati.
Kami komited untuk mengekalkan rasa hormat yang sama terhadap semua negara dan budaya. Kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan kami dalam memenuhi komitmen tersebut.
Kami memahami bahawa untuk membina semula kepercayaan, permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi. Kami komited untuk mendapatkannya kembali melalui tindakan kami.
Terdahulu, Kahf mencetuskan kontroversi selepas memuat naik satu gambar yang memaparkan perkataan “beda level” sambil membandingkan Indonesia dengan beberapa negara Asia Tenggara lain, termasuk Malaysia.
Hantaran tersebut dipercayai dibuat susulan kejayaan Indonesia menjuarai Piala FIFA ASEAN Cup 2026 baru-baru ini.
Sumber: Threads
The post Kahf Mohon Maaf Isu Sindir Beberapa Negara Termasuk Malaysia, Padam Hantaran ‘Beda Level’ first appeared on OHBULAN!.





