Selepas lebih dua dekad dalam industri, Faizal Tahir sebenarnya sudah mempunyai katalog lagu yang cukup kuat untuk menghidupkan sebuah konsert hanya dengan nostalgia.
Namun menerusi Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat di Unifi Arena, Bukit Jalil, yang menghimpunkan kira-kira 10,000 penonton dengan hampir 30 lagu, apa yang terasa lebih menarik ialah bagaimana karya-karya lama itu masih mempunyai makna apabila dibawa ke zaman sekarang.
ARTIKEL BERKAITAN: 85 Peratus Tiket ‘Suara Rakyat’ Dah Terjual! Faizal Tahir Kongsi Pentas Dengan Mirwana
Lagu Lama, Tetapi Emosinya Masih Sampai
Daripada Gemuruh, Cuba, Hanyut, Karma hingga Sampai Syurga dan Mahakarya Cinta, banyak lagu Faizal sudah berusia lebih sedekad.
Tetapi apabila ribuan penonton masih mampu menyanyi bersama, ia menunjukkan kekuatan katalog bukan semata-mata terletak pada populariti ketika lagu itu dilancarkan. Ada karya yang akhirnya menjadi sebahagian daripada memori hidup pendengarnya.

Itu mungkin sebab Suara Rakyat terasa lebih seperti pertemuan semula antara Faizal dan orang yang membesar bersama muziknya, berbanding sekadar sebuah konsert greatest hits.
View this post on Instagram
Faizal juga menghadiahkan peminat dengan lagu Kasih Tercipta, OST filem Waris Jari Hantu yang menjadi permintaan ramai peminat.
Faizal Yang Dulu, Bukan Yang Sekarang
Kalau dahulu Faizal dikenali dengan tenaga yang sangat agresif di atas pentas, selepas dua dekad ada kematangan yang lebih jelas pada cara dia membawa persembahan.

Tenaga itu masih ada, tetapi pentas kali ini turut banyak digunakan untuk menyampaikan mesej tentang kehidupan, kebersamaan dan nilai manusiawi. Malah, ada peminat yang bergurau konsert tersebut terasa seperti “kem motivasi” gara-gara lagu Gemuruh (yang merupakan lagu tema serta beberapa lagu kempen lain, serta banyak pesanan positif diselitkan sepanjang persembahan.
View this post on Instagram
Bagi saya, elemen itu sebenarnya dekat dengan DNA Faizal sendiri. Sejak awal, banyak lagunya memang bukan sekadar mahu sedap didengar, tetapi membawa mesej tentang perjuangan, harapan dan cintakan diri sendiri.
Mirwana & M. Nasir Bukan Sekadar ‘Surprise Guest’
Kemunculan Mirwana menerusi Aku Tanpa Cintamu dan Biar Satu Dunia Tahu membawa penonton kembali ke permulaan perjalanan Faizal, sebelum kemunculan mengejut Datuk M. Nasir menerusi Campak Bintang mempertemukan dua generasi muzik Malaysia di pentas yang sama.
Kedua-dua momen ini terasa meaningful kerana ia bukan guest appearance yang dimasukkan semata-mata untuk kejutan.

Mirwana mewakili akar perjalanan Faizal, manakala M. Nasir pula seperti mewakili kesinambungan legasi penyanyi dan pencipta yang menggunakan muzik untuk membawa idea serta identiti.
Bila ‘Suara Rakyat’ Benar-Benar Jadi Suara Ramai
Antara bahagian yang paling kena dengan konsep konsert ialah segmen Negaraku/Malaysia, apabila ribuan penonton turut menyanyi bersama.
Pada ketika itu, tajuk Suara Rakyat terasa lebih daripada sekadar nama konsert.
View this post on Instagram
Ia menggambarkan hubungan antara seorang penyanyi dengan pendengar yang datang daripada generasi dan pengalaman hidup berbeza, tetapi boleh bersatu melalui lagu yang sama.

Selepas dua dekad, Faizal mungkin sudah tidak perlu lagi membuktikan bahawa dia mampu menyanyi atau menguasai pentas.
Apa yang lebih penting ialah sama ada lagu-lagunya masih mempunyai tempat dalam kehidupan orang ramai.
Melihat hampir 10,000 suara masih menyambut Gemuruh, Hanyut, Sampai Syurga dan karya-karya lain malam itu, jawapannya nampaknya masih jelas.
Faizal Tahir bukan sekadar mempunyai lagu lama yang popular. Dia mempunyai lagu yang sudah membesar bersama pendengarnya.
The post Ulasan Konsert: ‘Suara Rakyat’ Buktikan Faizal Tahir Tak Perlu Bergantung Pada Nostalgia Semata-Mata first appeared on OHBULAN!.





