Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil menjelaskan isu tular berkaitan kelewatan pengurusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, yang dikaitkan dengan sebuah hantaran media sosial.
Penjelasan JAIS

Menurut JAIS, siasatan mendapati jenazah berkenaan merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, dan telah meninggal dunia pada 25 Jun 2026 jam 6.22 pagi.
Dalam kenyataan itu, JAIS memaklumkan pada peringkat awal waris telah berurusan dengan sebuah entiti swasta, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid, bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Bapa si mati kemudian hadir ke masjid sekitar jam 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam, sebelum bersetuju agar pihak masjid mengambil alih urusan daripada BKS. Borang tersebut dikeluarkan pada jam 11.15 pagi selepas pihak masjid menerima Daftar Kematian asal.
Namun, JAIS memaklumkan berlaku pertindihan arahan apabila datuk si mati didakwa berkeras mahu urusan diteruskan oleh BKS, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan waris.
Bagi mengelakkan kekecohan, pihak masjid turut mendapatkan bantuan polis ketika ke lokasi pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka. Namun sebaik tiba, jenazah didapati telah dibawa ke tanah perkuburan oleh pihak BKS tanpa membawa dokumen lengkap yang masih dipegang oleh pihak masjid.
Tiada dokumen sah

Disebabkan ketiadaan dokumen sah, urusan pengebumian tidak dapat disempurnakan sehingga pihak pengurusan tanah perkuburan menghubungi masjid untuk pengesahan. Pengebumian hanya dapat diteruskan selepas dokumen asal dibawa ke lokasi.
JAIS turut mendedahkan bahawa semakan di tanah perkuburan mendapati borang permohonan yang dikemukakan oleh pihak waris adalah palsu dan satu laporan polis telah dibuat pada 26 Jun 2026 bagi siasatan lanjut.
Dalam masa sama, JAIS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihak masjid menuntut bayaran RM1,400 untuk urusan pengebumian.
Kelewatan ini berlaku kerana kekeliruan pihak waris yang telah menyerahkan sepenuhnya urusan kepada BKS yang tiada hubungan dengan pihak masjid.
JAIS turut menegaskan bahawa pengurusan jenazah orang Islam perlu disegerakan dan tidak boleh dilengahkan atas sebarang kepentingan pihak tertentu.
Sehubungan itu, JAIS menasihatkan orang ramai supaya merujuk terus kepada pihak pengurusan masjid kariah masing-masing bagi memastikan urusan pengebumian berjalan lancar dan mengikut prosedur.
Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor
The post Jenazah Lewat Kebumi: JAIS Nafi Masjid Tuntut RM1,400, Dakwa Borang Pengebumian Dipalsukan first appeared on OHBULAN!.





