Teater garapan Gavin Yap berjudul FORK IT: One Man’s Journey Through Food & Memories dipilih sebagai pementasan sulung yang bakal membuka tirai The Studio di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway City Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: Gavin Yap Bawa Kisah Empat Sekawan Suka Lepak Di Tanah Perkuburan
FORK IT buka pentas!

Selepas dua musim dipentaskan di Bobo KL, FORK IT kembali dengan skala lebih besar dari 11 hingga 13 September ini.
Menurut Gavin, naskhah yang ditulis bersama Honey Ahmad itu mengangkat kisahnya sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina dan Inggeris, selain menyentuh isu keluarga dan kenangan yang berkait rapat dengan makanan.
Walaupun kita berbeza latar belakang, meja makan sentiasa menjadi tempat kita ketawa, bertengkar, meraikan sesuatu, berdamai dan akhirnya kembali bersama.
FORK IT dipilih sebagai pementasan pembukaan The Studio kerana formatnya yang lebih dekat dengan penonton, sekali gus memberi pengalaman berbeza berbanding persembahan di pentas berskala besar.
EURYDICE arahan Ghafir

Menyusuli FORK IT, tiga lagi produksi akan dipentaskan di The Studio, antaranya, EURYDICE karya finalis Hadiah Pulitzer, Sarah Ruhl yang diarahkan Ghafir Akbar yang bakal dipentaskan dari 18 hingga 27 September.
EURYDICE mengetengahkan kisah cinta, kehilangan dan kenangan daripada perspektif watak wanita menerusi pendekatan kontemporari, imaginatif serta diselitkan elemen humor.
Pementasan itu turut menampilkan Vinna Law sebagai teraju utama selepas membina kerjaya di London dan dia digandingkan bersama tiga nama besar teater tanah air iaitu Jo Kukathas, Anne James dan Sukania Venugopal.
Turut menyertai barisan pelakon ialah Gavin Yap, Terence Swampillai serta bakat baharu, Tinesh Janaki Raman.
JCPAC pentas pengkarya

Selepas itu, The Studio akan mementaskan The Failed Romances dari 12 hingga 15 November depan, sebuah karya yang mengetengahkan kisah percintaan yang tidak berakhir seperti diharapkan.
Satu lagi produksi, THROWN pula bakal dipentaskan dari 19 hingga 29 November dan mengangkat tema identiti, memori serta trauma zaman kanak-kanak.
The Studio merupakan ruang black-box berkapasiti 150 penonton yang diwujudkan JCPAC bagi memberi peluang kepada pengkarya mengetengahkan karya yang lebih fleksibel dan eksperimental. JCPAC turut mempunyai The Grand Theatre, sebuah auditorium berkapasiti 1,200 penonton.
Pengarah JCPAC, Melissa Teoh berkata, kewujudan The Studio melengkapkan ekosistem seni persembahan di pusat berkenaan, selain membuka lebih banyak ruang untuk pengkarya bereksperimen dan mengembangkan bakat.
JCPAC bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi simbol keyakinan terhadap cerita, suara dan bakat kita. Kami mahu kreativiti anak Malaysia disatukan di bawah sebuah bumbung yang kekal, bertaraf dunia dan benar-benar milik kita.
The post Pentas Teater JCPAC Bakal Bergegar! Gavin Yap Kembali Dengan ‘FORK IT’, Ghafir Akbar Pertaruh ‘EURYDICE’ first appeared on OHBULAN!.





