31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kutipan Puluhan Juta Pun Belum Tentu Untung, Jadi Apa Sebenarnya Ukuran Filem Berjaya?

    Shopee Sale

    Semakin tinggi kutipan pawagam, semakin mudah sesebuah filem dianggap berjaya. Namun adakah kutipan puluhan juta ringgit semestinya bermakna penerbit memperoleh keuntungan besar?

    Industri filem tempatan sememangnya mencatat beberapa pencapaian luar biasa. Statistik rasmi FINAS merekodkan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebagai filem tempatan dengan kutipan kasar tertinggi sebanyak RM89.42 juta, diikuti Blood Brothers: Bara Naga RM73.64 juta dan Papa Zola The Movie RM63.84 juta.

    Namun angka box office sebenarnya hanya menceritakan sebahagian daripada perjalanan kewangan sesebuah filem.

    Artikel Berkaitan: Filem Tempatan Semakin Meledak, Tapi Boleh Ke Kekal Lama? Ini 7 Cabaran Selepas Pecahkan Dominasi Hollywood

    Artikel Berkaitan: ‘Chelot’ Pilih Letupan Sebenar, Bukan CGI! 7 Sebab Practical Effects Kembali Jadi Senjata Filem Aksi

    RM20 juta kutipan bukan RM20 juta masuk poket penerbit

    Ini perkara paling penting yang perlu difahami. FINAS sendiri mengklasifikasikan angka dalam senarai filem terlaris sebagai ‘kutipan kasar box office’. Kutipan kasar bermaksud jumlah jualan tiket, bukannya keuntungan bersih yang diterima penerbit.

    Sebagai gambaran bagaimana model pawagam berfungsi, Lionsgate Studios menerangkan dalam laporan rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) bahawa perjanjiannya dengan pempamer pawagam secara umum memberikan studio satu peratusan daripada hasil box office.

    Justeru, kiraan mudah seperti, RM20 juta kutipan – RM5 juta kos produksi = RM15 juta untung tidak boleh digunakan begitu sahaja.

    Struktur pembahagian sebenar di Malaysia pula bergantung kepada kontrak pihak terlibat dan tidak wajar dianggap mempunyai satu kadar tetap untuk semua filem.

    Kutipan lebih kecil tak semestinya lebih gagal

    Bayangkan secara hipotetikal sebuah filem bermodal RM2 juta berjaya mengutip RM8 juta, sementara produksi yang jauh lebih mahal mengutip RM15 juta.

    Filem kedua mungkin menduduki kedudukan lebih tinggi dalam carta box office, tetapi kita masih belum mempunyai maklumat mencukupi untuk menentukan projek mana memberikan pulangan pelaburan atau return on investment (ROI) lebih baik.

    Setiap filem mempunyai kos dan titik pulang modal yang berbeza sebab itu kutipan lebih besar tidak semestinya bermaksud keuntungan lebih besar.

    Bukan kos produksi sahaja, pemasaran pun perlukan duit

    Filem tidak berhenti menelan kos selepas penggambaran tamat. Trailer, iklan, bahan promosi, kempen digital, publisiti dan proses pengedaran juga memainkan peranan untuk membawa penonton ke pawagam.

    FINAS sendiri membuka Dana Pemasaran, Pemameran dan Promosi 2026 (DP2 2026) bagi membantu pemasaran dan pengedaran filem cereka serta meningkatkan jumlah penonton dan kutipan pawagam.

    MENARIK:  Kahwin Marissa Dania & Aslam Di Songkhla: Adakah Benar?

    Dalam industri antarabangsa, skala kos tersebut lebih jelas. Lionsgate melaporkan perbelanjaan pengedaran dan pemasaran untuk segmen filemnya berjumlah AS$427.5 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2026, termasuk kos pengiklanan dan pemasaran tayangan pawagam.

    Maksudnya mudah buat filem perlukan wang, nak buat orang datang tengok pun perlukan wang.

    Keluar pawagam bukan bermakna filem berhenti jana wang

    Tayangan pawagam juga bukan satu-satunya saluran komersial sesebuah filem. Laporan rasmi Lionsgate memecahkan pendapatan segmen filem kepada beberapa bahagian termasuk theatrical, home entertainment, televisyen dan pasaran antarabangsa.

    Platform digital pula merangkumi video-on-demand, digital rental serta jualan digital. Ini bermaksud sebuah filem masih boleh mempunyai nilai komersial selepas tayangannya di pawagam berakhir.

    Sebab itu prestasi theatrical penting, tetapi tidak semestinya menjadi titik akhir dalam menentukan prestasi keseluruhan karya.

    Kejayaan juga boleh datang dari luar Malaysia

    Filem Abang Adik merupakan contoh bagaimana sesebuah karya tempatan boleh memperoleh nilai di pasaran antarabangsa.

    FINAS merekodkan filem tersebut berjaya memperoleh NT$15 juta atau kira-kira RM2.2 juta dalam hanya tiga hari tayangan di Taiwan, selain mencatat pelbagai pencapaian antarabangsa.

    Ia menunjukkan pasaran filem Malaysia tidak semestinya berakhir di dalam negara. Pasaran luar, pelesenan dan pengedaran antarabangsa turut boleh menjadi sebahagian daripada ukuran kejayaan.

    Jadi, box office tak penting?

    Bukan begitu. Box office tetap menjadi ukuran penting kerana ia menunjukkan berapa ramai penonton sanggup membayar untuk menonton sesebuah filem.

    Malah industri tempatan menunjukkan pertumbuhan ketara apabila data FINAS bagi filem di bawah Skim Wajib Tayang merekodkan jumlah kutipan meningkat daripada RM125.3 juta pada 2024 kepada RM253.3 juta pada 2025.

    Cuma kita tidak seharusnya menggunakan satu angka itu sahaja untuk terus menentukan sesebuah filem untung, rugi, hit atau flop.

    Kos produksi, pemasaran, pembahagian hasil, pendapatan digital, pasaran antarabangsa dan nilai jangka panjang karya juga perlu diambil kira.

    Kerana filem yang nampak ‘pecah panggung’ belum tentu menghasilkan keuntungan sebesar angka pada posternya.

    Dan filem dengan kutipan lebih sederhana pula belum tentu gagal apabila keseluruhan perjalanan komersial dan pencapaiannya diambil kira.

    Sumber: FINAS, Lionsgate Studios Corp / U.S. SEC, Laporan Tahunan FINAS 2023

    The post Kutipan Puluhan Juta Pun Belum Tentu Untung, Jadi Apa Sebenarnya Ukuran Filem Berjaya? first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah