
Susulan tular sepotong video yang mencetuskan kontroversi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah bertemu empat mata dengan pihak produksi drama Bidaah.
Teguran kepada pihak produksi
View this post on Instagram
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG) sebentar tadi, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah meneliti secara terperinci klip episod tersebut termasuk episod yang belum ditayangkan.
Dalam masa yang sama, produksi drama terbabit turut memberikan kerjasama yang baik dan sedia memadam babak yang disifatkan tidak sesuai untuk tontonan selepas berlapadang dada menerima teguran daripada pihak JAKIM.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memanggil dan mengadakan pertemuan di antara pihak produksi dengan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam, JAKIM bagi meneliti kandungan drama tersebut yang merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.
JAKIM telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.
Pihak penerbit akur dengan teguran dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarkat.
Seni dalam Islam

Meskipun ketegasan syariat Islam dititikberatkan, namun pihak JAKIM akan sentiasa memberikan pandangan serta nasihat untuk semua pengkarya di negara ini.
JAKIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan para seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama.
JAKIM juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam, yang dikeluarkan pada tahun 2015, merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.
Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat. Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika.
Terdahulu, drama Bidaah dikritik hebat oleh segelintir pihak dengan mendakwa terdapat babak yang keterlaluan selain memberi tanggapan negatif kepada agama.
Sekadar info, drama tersebut menampilkan Vanidah Imran, Faizal Hussein, Fattah Amin, Riena Diana, Marisa Yasmin, Hasnul Rahmat, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.





