Penyanyi, Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa syukur apabila penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa tampil menghubunginya bagi menjernihkan keadaan susulan isu rakaman semula lagu ikonik Sinaran tanpa sebarang rundingan.
Artikel Berkaitan: Nora Ariffin Persoal Rossa Rakam Semula Lagu ‘Sinaran’ – ‘Siapa Beri Keizinan?’
‘Rossa memahami’

Menerusi hantaran di Instagram Story, Nora atau nama sebenar Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, berkata, tindakan Rossa menghubunginya secara peribadi menunjukkan keprihatinan dan sikap profesionalisme tinggi yang wajar dipuji.
Saya menerima panggilan daripada Rossa. Sebagai penyanyi, dia sangat memahami situasi ini dan memberi kerjasama dengan baik.
Alhamdulillah, saya benar-benar terharu dan menghargai kesudian Rossa menelefon sendiri untuk menjelaskan perkara ini.
Tambah pelantun lagu Hanyalah Satu itu lagi, Rossa turut berharap dia memperoleh hak sewajarnya berhubung karya ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi bersama Allahyarham Adnan Abu Hassan.
Rossa juga berharap agar saya mendapat hak saya. Terima kasih Rossa atas keprihatinan dan rasa hormatnya.
Terdahulu, tular video ‘teaser’ EP Asmara Dansa yang dikongsikan Rossa di media sosial, memperlihatkan versi baharu lagu Sinaran hasil kolaborasi bersama penyanyi rap tempatan, MK K-Clique.
Rentetan itu, Nora mempersoalkan tindakan rakaman semula lagu berkenaan tanpa sebarang rundingan rasmi dengan pewaris asal karya tersebut.
Nora turut mengingatkan isu keizinan dan royalti tidak boleh dipandang ringan kerana berkait rapat dengan hak cipta serta kebajikan waris karyawan seni yang telah meninggal dunia.
Untuk info, Sinaran pernah dipopularkan oleh Datuk Sheila Majid sekitar era 1980-an dan diiktiraf sebagai antara karya paling berpengaruh dan malar segar.
Sumber: Instagram
The post Isu Rakam Semula Lagu Sinaran, Nora Ariffin Terima Panggilan Daripada Rossa – ‘Terima Kasih Atas Keprihatinan’ first appeared on OHBULAN!.





