Penyanyi, Ismail Izzani muncul sebagai juara sulung The Power Play Pickleball Tournament selepas bergandingan bersama pengurusnya menewaskan semua pencabar dalam kejohanan berprestij itu.
Artikel Berkaitan: ‘Hazwani Akhlaknya Baik, Ada Ciri-Ciri Wanita Idaman Saya’ – Hariz Hamdan
Ismail juara!

Kejohanan berkonsepkan perpaduan industri kreatif itu dianjurkan buat julung kalinya oleh The Germans United (TGU), sebuah gabungan empat pengurus artis berpengalaman dengan inisiatif menyatukan warga seni menerusi sukan.
Berlangsung di Tomaz Pickleball Club, penganjuran ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi medium mengukuhkan kerjasama serta membina hubungan lebih akrab dalam kalangan pemain industri hiburan tempatan.
Selari dengan matlamat tersebut, TGU turut membuka penyertaan kepada pengurus artis lain bagi menyemarakkan lagi semangat kesatuan dan kebersamaan dalam industri seni tanah air.
Wakil penganjur, Nik Yasmin berkata, penganjuran kejohanan ini memberi ruang kepada selebriti, pengurus artis dan pengamal media untuk berinteraksi dalam suasana lebih santai, selain menggalakkan gaya hidup sihat.
Idea untuk menganjurkan kejohanan julung kali ini bermula sekadar angan-angan, namun akhirnya menjadi kenyataan apabila mendapat sambutan yang sangat positif daripada selebriti dan pihak media.
Apa yang menguatkan semangat kami adalah apabila kejohanan ini menerima pelbagai bentuk tajaan.
Misi utama kami bukan sahaja untuk merapatkan hubungan antara selebriti, pengurus dan media, malah menyatukan semua lapisan warga industri seni.
Melihat kepada sambutan memberangsangkan, Nik Yasmin memaklumkan pihak penganjur merancang untuk menjadikan The Power Play Pickleball Tournament sebagai acara tahunan.
Artis dan wartawan

Sebanyak 14 pasangan artis dan pengurus mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, melambangkan kepelbagaian bakat dan latar belakang dalam industri hiburan tempatan.
Antara selebriti yang memeriahkan termasuk Shahz Jaszle, Zahiril Adzim, Trisha Ooi, Hariz Hamdan, Dahlia Rizal, Fitri Farok, Zarif Ghaz, Maxximus Towle, Ezaidi Aziz, Syafiq Farhain, Nas-T, Ismail Izzani, Imran Aqil dan Ikmal Amry.
Selain itu, kejohanan ini turut disertai 14 pasangan wakil organisasi media yang terdiri daripada wartawan, penyiar serta pencipta kandungan, sekali gus menjadikan acara ini lebih unik dan inklusif.
Penglibatan golongan media bukan sahaja menambah warna kepada pertandingan, malah berjaya merapatkan jurang antara dunia sukan, hiburan dan komunikasi.
Kejayaan Ismail Izzani dan pengurusnya sebagai juara melayakkan mereka membawa pulang hadiah utama berupa tiket penerbangan ke Perth, Australia.
Ismail meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada penganjur di atas penganjuran kejohanan tersebut.
Saya tak sangka menang. Alhamdulillah, rezeki saya dan pengurus. Kalau tanya fasal paddle saya gunakan ini, saya ditaja. Harga pasaran RM6,000 lebih.
Tempat kedua pula menjadi milik Imran Aqil bersama pengurusnya yang menerima tiket penerbangan ke Labuan Bajo, Indonesia.
Sementara itu, pasangan suami isteri, pelakon Ikmal Amry dan Najla, berjaya meraih tempat ketiga dan membawa pulang tiket penerbangan ke Da Nang, Vietnam.
Kesemua tiket penerbangan tersebut merupakan tajaan AirAsia, selain peserta turut berpeluang memenangi kasut jenama Asics serta pelbagai hadiah menarik lain.
The Power Play Pickleball Tournament direalisasikan hasil sokongan padu rakan penaja seperti Tomaz Pickleball Club, AirAsia, Asics, Brik, Glad2Glow, Yeo’s, Zus Coffee, Hala Labo Malaysia.
Selain itu, turut menaja adalah Pop Meals, DietYourWay, Rafflesia, Plain Label Studio, Next Beverage, Prima Multiworks, Star Power House Entertainment serta sokongan individu termasuk Nik Yasmin, Aiman Munier dan Faes Zack.
The post Ismail Izzani Guna Paddle RM6,000! Juara The Power Play Pickleball Tournament, Tewaskan Imran Aqil first appeared on OHBULAN!.





