Penyanyi, Iman Troye mengakui dirinya lebih gemar menyarung busana klasik setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Iman Troye, Dalia Farhana Sebak Lihat Kemunculan Naim Daniel
Busana klasik

Iman, 23, berkata, gaya tradisional tetap menjadi pilihannya saban tahun kerana melambangkan kemeriahan dan identiti sebenar hari raya.
Pada hari raya, saya lebih gemar memakai pakaian klasik, tentunya baju raya. Saya rasa bila sarung baju raya klasik menaikkan lagi ‘mood’ nak sambut raya dan melambangkan identiti Melayu.
Iman berkata demikian ketika ditemui di majlis KWC Raya Fashion Show di KWC Fashion Wholesale, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ditanya adakah menerima tajaan pakaian pada Syawal tahun ini, pelantun lagu Nang itu menjawab dia lebih selesa membeli sendiri pakaian yang diminati sebagai tanda sokongan terhadap jenama tempatan.
Kalau semua orang perasan, kebanyakan baju yang saya pakai dalam video muzik atau ketika membuat persembahan, selalunya saya beli sendiri.
Bukan saya tidak terbuka untuk menerima tajaan, tetapi saya menghargai koleksi yang dikeluarkan setiap kali musim raya. Setiap kali melihat koleksi baharu, saya sendiri rasa teruja dan kalau berkenan, saya akan beli.
Maksudnya, saya menyokong jenama-jenama tertentu dan kebanyakan baju raya yang saya pakai sebelum ini memang saya beli sendiri. Itu cara saya menyokong produk tempatan.
Dalam pada itu, Iman turut berkongsi pengalaman membeli baju raya pada harga yang cukup murah sehingga mencuri perhatian ramai.
Tentang baju raya berharga RM20 itu, memang betul. Sebenarnya saya beli tahun lepas ketika Ramadan, kira-kira seminggu atau dua minggu sebelum raya.
Waktu itu kedai tersebut sedang mengadakan jualan besar-besaran. Saya masuk kedai, nampak baju kurung songket berharga RM20 dan terus beli.
Kemudian di TikTok, orang beritahu harga baju yang sama sudah menjadi RM69.90. Saya pun terkejut kerana saya beli pada harga RM20, kenapa sekarang jadi RM69?
Bagi saya, soal harga itu bukan isu utama. Saya tidak kisah tentang harga, asalkan baju itu cantik, selesa dan sopan di mata saya, saya akan beli.
KWC Ramadan Raya

KWC Fashion Wholesale bakal memeriahkan sambutan Ramadan dan Hari Raya menerusi Kempen Raya 2026 yang bermula pada 19 Februari 2026, bersempena hari pertama Ramadan.
Sebagai pusat borong fesyen terbesar, KWC menawarkan pengalaman menyeluruh di bawah satu bumbung merangkumi membeli-belah fesyen, hiburan, makanan serta aktiviti komuniti bagi memudahkan persiapan perayaan.
Sepanjang kempen ini, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai pilihan busana Raya untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak, selain menikmati promosi beli dan tebus dengan hadiah eksklusif.
Kempen ini turut dimeriahkan dengan KWC Raya Fest dari 27 Februari hingga 2 Mac 2026, termasuk lanjutan waktu operasi sehingga jam 10 malam dan acara komuniti “Bring Your Tiffin” Potluck Iftar.
Menurut Centre Manager KWC Fashion Wholesale, Fiona Bong, kempen ini bertujuan menjadikan KWC bukan sekadar destinasi membeli-belah, tetapi ruang untuk meraikan kebersamaan, tradisi dan mencipta kenangan indah sepanjang Ramadan dan Hari Raya.
The post Iman Troye Suka Tema Klasik Di Hari Raya, Pernah Beli Baju Songket RM20 – ‘Tak Kisah Harga, Asalkan Cantik’ first appeared on OHBULAN!.





