Sembilan tahun tanpa perlumbaan F1, Sepang bakal kembali menjadi medan perebutan podium!
Formula 1 dijadualkan kembali ke Sepang International Circuit (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026, dengan perlumbaan utama berlangsung pada Ahad. Kepulangan ini menamatkan penantian sejak kali terakhir litar berkenaan menganjurkan F1 pada 2017.
Namun, sebelum kembali mengikuti aksi pelumba pilihan, tahu tak apa kaitan bekas perdana Meneeri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan sejarah litar ini?
Daripada cita-cita membina venue bertaraf dunia hingga kembali menerima kunjungan F1, ini lima fakta tentang Sepang yang menarik untuk dikenali.
Artikel Berkaitan: Ain Edruce Terkejut Tahu Harga ‘Grandstand’ F1 Tak Sampai RM8,000
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rozita Che Wan Tak Halang Aaisyah Minat F1 – ‘Tiket Sudah Beli..Dia Nak Mereka Sign Dekat Baju & Topi’
1. Tun M Mahu Malaysia Ada Litar Bertaraf Dunia
Menurut laman rasmi Formula 1, idea pembangunan Sepang muncul ketika Malaysia sedang pesat membangun pada era 1990-an.
Tun Dr Mahathir, yang ketika itu menjadi Perdana Menteri, mahu mewujudkan sebuah venue sukan permotoran bertaraf dunia sebagai sebahagian daripada usaha perindustrian negara.
Visi tersebut menjadi asas penting kepada pembangunan litar yang kemudiannya menerima kunjungan Formula 1.
2. Litar Sebesar Ini Disiapkan Dalam 14 Bulan
Menurut PETRONAS Sepang International Circuit, pembinaan litar itu disiapkan dalam tempoh 14 bulan sebelum dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir pada 9 Mac 1999.
Reka bentuknya pula dihasilkan oleh arkitek litar terkenal, Hermann Tilke.
Dengan 15 selekoh serta ruang untuk aksi memotong, Sepang dibangunkan untuk memberikan cabaran kepada pelumba dan pengalaman perlumbaan yang mendebarkan buat penonton.
3. Baru Dirasmikan, Terus Jadi Pentas Ferrari Raih Dua Podium Teratas
Pada 17 Oktober 1999, Sepang menganjurkan Malaysian Grand Prix pertamanya, hanya beberapa bulan selepas perasmian litar.
Berdasarkan keputusan rasmi Formula 1, Eddie Irvine muncul juara, diikuti rakan sepasukan Ferrari, Michael Schumacher, di tempat kedua.
Mika Häkkinen daripada McLaren Mercedes pula melengkapkan kedudukan tiga terbaik. Perlumbaan sulung di Sepang terus menghimpunkan nama besar dunia F1!
View this post on Instagram
4. Verstappen Menang Perlumbaan Terakhir Sebelum Sepang Berehat Daripada F1
Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan F1 dari 1999 hingga 2017, merentasi beberapa generasi pelumba.
Menurut Formula 1, Max Verstappen memenangi perlumbaan terakhir di Sepang pada 2017 sebelum ketiadaan litar itu daripada kalendar F1.
Jadi, kepulangan kali ini turut menghidupkan semula kenangan persaingan yang pernah berlangsung di hadapan peminat tempatan.

5. Berlumba Di Malaysia, Tetapi Menggunakan Nama Bahrain
Ini fakta yang mungkin membuatkan peminat baharu tertanya-tanya.
Acara tahun ini dinamakan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026, susulan pemindahan penganjuran perlumbaan Bahrain ke Sepang.
Menurut pengumuman rasmi Formula 1 dan FIA, persetujuan itu melibatkan Formula 1, FIA serta kerajaan Bahrain dan Malaysia.
Maka, walaupun lokasi perlumbaan ialah Sepang, nama rasmi acara tersebut kekal membawa identiti Bahrain.
Menariknya, Reuters melaporkan hanya 10 daripada 22 pelumba dalam grid semasa mempunyai pengalaman berlumba di Sepang. Lando Norris dan Oscar Piastri antara yang bakal berdepan pengalaman baharu di litar ini.
Buat peminat lama, kepulangan ini membawa nostalgia. Buat generasi baharu, inilah peluang mengenali litar yang sejarah pembangunannya berkait rapat dengan visi Tun M.
View this post on Instagram
The post F1 Kembali Ke Sepang! 5 Fakta Dari Visi Tun M Hingga ‘Comeback’ Selepas 9 Tahun Yang Mungkin Gen Z Tak Tahu first appeared on OHBULAN!.





