Setiap watak yang dibawakan seorang pelakon pasti meninggalkan pengalaman tersendiri, namun ada sesetengah karakter yang kesannya melangkaui set penggambaran dan kekal dalam kehidupan sebenar.
Bagi pelakon Zahirah Macwilson, pengalaman menjayakan watak Dahlia dalam drama Good Boys Go To Heaven menjadi antara naskhah yang paling memberi kesan kepadanya sehingga mengubah cara dia melihat kehidupan, keluarga dan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Artikel Berkaitan: #BabyXTRA: Tegas Tapi Penuh Kasih Sayang, Ini Cara Zahirah Macwilson Didik Anak-Anak
Artikel Berkaitan: ‘Dah Lama Saya Simpan Keinginan Untuk Mulakan Perjalanan Ini, Saya Nak Cuba & Belajar’ – Zahirah MacWilson
Watak Seorang Ibu Kehilangan Anak Beri Kesan Paling Dalam
Watak yang sarat dengan emosi itu bukan sahaja menuntut Zahirah menyelami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak, malah membuatkannya lebih menghargai setiap detik bersama insan tersayang.
Menerusi perkongsian #ThrowbackXTRA, Zahirah berkata karya berkenaan bukan sahaja membawa jalan cerita yang cukup berat, malah menyentuh isu yang menurutnya jarang diterokai dalam industri tempatan ketika itu.
Saya rasa watak saya sebagai Dahlia dalam drama Good Boys Go To Heaven. Itu satu cerita dan karya yang sangat-sangat ‘mind blowing’.
Cerita itu saya rasa seperti satu ‘wake-up call’ untuk Malaysia. Antara cerita yang Malaysia belum terokai ketika itu, dengan kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini dan boleh dikaitkan.
Sukar Bawa Emosi Seorang Ibu Kehilangan Anak
Menurut Zahirah, cabaran terbesar datang apabila dia perlu menyelami emosi seorang ibu yang kehilangan anak, pengalaman yang disifatkannya begitu berat dari sudut mental dan emosi.
Malah, sepanjang menjayakan karakter tersebut, ada ketika dia sendiri tidak dapat menahan perasaan sehingga mengalami tekanan.
Untuk saya secara peribadi, memegang watak sebagai seorang ibu yang kehilangan anak memang berat dan sangat sukar.
Ada ketika saya ‘break down’, ada masa saya rasa sangat tertekan. Saya tak boleh bayangkan bagaimana perasaan mereka yang benar-benar pernah melalui pengalaman sebegitu.
Pengalaman itu secara tidak langsung membuatkan Zahirah lebih menghargai kehidupan, terutama masa yang diluangkan bersama anak-anak.
Belajar Hargai Waktu Bersama Anak
Bagi aktres itu, Dahlia bukan sekadar watak yang ditinggalkan selepas penggambaran selesai, sebaliknya membawa satu pengajaran yang terus dipegangnya dalam kehidupan sebenar.
Ia membuatkan kita lebih menghargai kehidupan, anak-anak dan belajar untuk berada dalam momen itu.
Ia satu karakter yang sangat baik untuk saya dan saya rasa watak itu menetapkan bagaimana saya mahu menjadi seorang ibu pada masa akan datang.
Lebih daripada itu, Zahirah berkata pengalaman tersebut turut mengingatkannya supaya tidak terlalu tenggelam dalam tuntutan kerjaya sehingga mengabaikan insan yang paling dekat.
Supaya kita tidak mengabaikan anak-anak dan jangan terlalu obses dengan kerjaya.
View this post on Instagram
Biarpun hanya sebuah karakter di layar kaca, watak Dahlia jelas meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam buat Zahirah.
Daripada perlu membayangkan kehilangan seorang anak kepada memahami betapa berharganya masa bersama keluarga, pengalaman tersebut akhirnya menjadi peringatan buat dirinya sendiri di sebalik kesibukan mengejar kerjaya, ada momen bersama insan tersayang yang tidak boleh diulang kembali.
The post #ThrowbackXTRA: ‘Jangan Terlalu Obses Dengan Kerjaya’ – Watak Ibu Kehilangan Anak Ubah Perspektif Zahirah Macwilson Tentang Kehidupan first appeared on OHBULAN!.





