31.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Dari Pentas Ke Ruang Bimbingan, Nasha Aziz Mahu Cari Bakat Yang Belum Ditemui

    Shopee Sale

    Selepas bertahun-tahun membina nama dalam dunia peragaan dan hiburan, Nasha Aziz kini berada pada satu posisi berbeza.

    Bukan lagi sekadar individu yang dinilai kerana karisma, pembawaan diri atau kemampuannya di hadapan kamera, sebaliknya pengalaman itu kini mahu digunakan untuk melihat potensi generasi baharu.

    ARTIKEL BERKAITAN: Nasha Aziz Bantu Warga Emas Kutip Barang Terpakai Buat Netizen Terharu – ‘Kecantikannya Sama Cantik Dengan Budi Pekerti’

    Bila Pengalaman Jadi Sesuatu Yang Boleh Dikongsi

    Menerusi program Ikon Aspirasi Pahang, Nasha dipilih sebagai salah seorang juri bagi sesi uji bakat yang akan berlangsung pada 4 Oktober 2026 di Kuantan.

    Namun peranannya tidak terhenti setakat memilih peserta.

    Bagi Nasha, bakat kadangkala bukan tidak wujud, tetapi belum bertemu ruang yang tepat untuk berkembang.

    “Kadang-kadang seseorang itu mempunyai potensi luar biasa, tetapi belum pernah mendapat platform yang tepat untuk menunjukkannya.

    “Saya melihat Ikon Aspirasi Pahang sebagai satu ruang terbaik untuk anak muda dan bakat tempatan berani tampil ke hadapan, mencabar kemampuan diri dan melihat sejauh mana mereka boleh melangkah,” katanya.

    Pendekatan itu selari dengan pengalaman panjang Nasha dalam industri yang banyak bergantung kepada keyakinan, disiplin, personaliti dan kebolehan seseorang membawa diri.

    Dalam uji bakat itu, peserta bukan sahaja dinilai berdasarkan kemampuan menghasilkan kandungan digital, tetapi turut dilihat dari sudut karisma, daya tarikan di hadapan kamera dan potensi membina identiti sendiri.

    Bukan Sekadar Cari Wajah Popular

    Menariknya, pencarian itu tidak hanya memberi tumpuan kepada individu yang sudah mempunyai pengikut tinggi di media sosial.

    Ruang turut diberikan kepada bakat baharu yang mungkin belum dikenali tetapi mempunyai potensi untuk dibentuk.

    Selepas sesi uji bakat, seramai 20 peserta akan dipilih untuk mengikuti program pembangunan yang merangkumi latihan kandungan TikTok, pengalaman digital, pembangunan personal branding serta aktiviti sosial dan eko-pelancongan.

    Nasha sendiri akan terus bersama peserta menerusi sesi khas Breakfast bersama Nasha Aziz pada 5 Oktober, sehari selepas proses pemilihan.

    MENARIK:  ‘Mohon Doakan Ibu Saya Yang Sedang Menjalani Prosedur Berisiko Tinggi’ – Elfira Loy

    Sesi itu akan menjadi ruang untuk finalis mendengar sendiri pengalaman dan realiti industri daripada seseorang yang sudah melalui perjalanan panjang dalam dunia seni.

    Dari Populariti Kepada Ketahanan Dalam Industri

    Dalam landskap hari ini, memiliki wajah menarik atau pengikut ramai mungkin boleh membuka pintu.

    Namun untuk bertahan, seseorang masih perlu mempunyai kemampuan berkomunikasi, memahami personal branding dan tahu bagaimana mahu mengendalikan diri apabila berada dalam ruang awam.

    Di sinilah pengalaman Nasha memberi nilai berbeza.

    Selepas melalui perubahan industri daripada era majalah, pentas peragaan dan televisyen kepada zaman media sosial hari ini, dia membawa perspektif seseorang yang pernah berada di tengah-tengah perubahan itu sendiri.

    Bagi Nasha, mungkin ada bakat yang masih belum kelihatan hanya kerana mereka belum diberikan peluang.

    “Saya amat teruja untuk bertemu dengan 20 ikon yang bakal dipilih nanti dan berkongsi pengalaman yang saya timba sepanjang berada dalam industri ini,” katanya.

    20 Ikon Bakal Dipilih

    Ikon Aspirasi Pahang terbuka kepada individu berusia antara 18 hingga 49 tahun yang mempunyai kaitan dengan negeri Pahang serta berminat meneroka dunia kandungan digital, TikTok, livestreaming dan media sosial.

    Selain Nasha, sesi uji bakat turut melibatkan Dr Azu Shahadan serta Dato’ Emma Ibrahim sebagai panel juri.

    Seramai 20 peserta yang terpilih bakal mengikuti program pembangunan bakat dan berpeluang merebut hadiah utama bernilai RM10,000, selain pengiktirafan peringkat negeri serta peluang untuk terlibat dalam projek bersama jenama dan agensi berkaitan.

    Sesi uji bakat dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober 2026, dari jam 10 pagi hingga 5 petang di Shahzan Hotel, Kuantan.

    Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi saluran rasmi Ikon Aspirasi Pahang.

    The post Dari Pentas Ke Ruang Bimbingan, Nasha Aziz Mahu Cari Bakat Yang Belum Ditemui first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah