Bagi mahasiswa, kehidupan di kampus hari ini memang susah dipisahkan daripada Internet.
Buka laptop untuk siapkan assignment, cari bahan rujukan di perpustakaan, masuk kelas dalam talian atau buat perbincangan kumpulan dengan rakan, semuanya perlukan capaian Internet yang baik.
Sebab itu, Wi-Fi di kampus bukan sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada rutin pembelajaran mahasiswa.
Menyedari keperluan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memperkukuh ketersambungan Wi-Fi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi latihan kemahiran di seluruh negara.
539 lokasi di seluruh negara diperkukuh
Projek berkenaan melibatkan 539 lokasi di seluruh negara, merangkumi IPTA serta institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Setakat 19 September 2026, sebanyak 294 lokasi atau 55 peratus telah mempunyai akses Wi-Fi menerusi projek berkenaan.
Untuk IPTA pula, Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap sepenuhnya, melibatkan 191 lokasi.
Pelaksanaan kini diteruskan menerusi Fasa 3 IPTA serta lokasi di bawah MARA dan KESUMA.
Bukan dalam kelas saja mahasiswa perlukan Internet
Kalau dulu pembelajaran banyak tertumpu kepada dewan kuliah dan buku teks, rutin mahasiswa hari ini jauh lebih digital.
Lepas kelas, tugasan mungkin perlu dihantar melalui platform pembelajaran, bahan akademik perlu dicari secara dalam talian dan perbincangan kumpulan pula boleh berlangsung melalui panggilan video atau aplikasi mesej.
Sebab itu, projek ini memberi tumpuan kepada lokasi strategik di kampus termasuk dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar serta kolej kediaman dan asrama.
Maksudnya, mahasiswa boleh mendapatkan akses Internet di lebih banyak ruang yang mereka gunakan untuk belajar dan menjalani kehidupan harian di kampus.
Lebih mudah siapkan assignment tanpa risau kuota
Bagi mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman, Wi-Fi yang lebih baik juga boleh mengurangkan kebergantungan kepada pelan data mudah alih sendiri.
Bayangkan nak siapkan assignment berkumpulan pada waktu malam, perlu memuat naik fail atau menghadiri perbincangan secara dalam talian.
Dengan akses Wi-Fi di kawasan kolej kediaman dan ruang kampus, urusan seperti ini boleh dilakukan tanpa perlu sentiasa bergantung kepada kuota Internet peribadi.
Di UTeM, misalnya, tambahan 302 titik capaian Wi-Fi telah dipasang, menjadikan jumlah keseluruhan titik capaian yang beroperasi di universiti itu sebanyak 410. Kemudahan tersebut dilaporkan memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar di lokasi berkenaan.
Internet kampus bukan sekadar ‘Ada Wi-Fi’
Pada akhirnya, apa yang mahasiswa perlukan bukan sekadar melihat simbol Wi-Fi pada telefon atau laptop.
Yang lebih penting ialah capaian Internet yang boleh digunakan ketika mereka benar-benar memerlukannya, sama ada untuk belajar, mencari bahan rujukan, menyiapkan tugasan atau berhubung dengan rakan sekumpulan.
Usaha memperkukuh Wi-Fi di 539 lokasi ini menunjukkan fokus kepada ketersambungan yang lebih menyeluruh dalam persekitaran kampus.
Bagi mahasiswa, manfaatnya cukup dekat dengan kehidupan seharian: daripada buka laptop di perpustakaan hingga sambung siapkan assignment di kolej kediaman, akses Internet yang lebih baik boleh menjadikan rutin pembelajaran digital lebih mudah.
The post Internet Lebih Baik Dari Kelas Hingga Ke Asrama: 539 Lokasi Diperkukuh Seluruh Negara first appeared on OHBULAN!.





